Samsung, Panasonic siasat dakwaan eksploitasi pekerja di Malaysia

Samsung, Panasonic siasat dakwaan eksploitasi pekerja di Malaysia

Pekerja kilang asing mendakwa mereka tiada pilihan kecuali meneruskan pekerjaan bagi membayar hutang, walaupun mereka hanya dibayar RM700, separuh daripada gaji minimum ditetapkan Putrajaya.

kilang
PETALING JAYA:
Samsung dan Panasonic memulakan siasatan ke atas laporan The Guardian yang mendakwa pekerja Nepal dipaksa bekerja sehingga 14 jam sehari di kilang Malaysia.

Ia susulan pelbagai dakwaan yang pasport mereka turut dirampas dan tidak dibenarkan rehat, termasuk ke tandas semata-mata untuk membayar kos mereka diambil bekerja.

“Jika ada sebarang pelanggaran peraturan dikesan, kami akan mengambil tindakan segera untuk membetulkan keadaan dan menggantung syarikat yang didapati melanggar syarat,” kata Samsung yang dipetik The Guardian.

Panasonic pula mengambil dakwaan itu dengan “amat serius” dan dasarnya jelas dinyatakan dalam perjanjian dengan syarikat pembekal buruh.

“Kami tidak bertolak ansur dengan pelanggaran syarat-syarat ini,” kata gergasi elektronik itu.

Menurut The Guardian, kedua-dua syarikat itu tidak membenarkan pengambilan pasport atau mengenakan bayaran kepada pekerja asing.

Akhbar itu menemuramah pekerja terbabit dan mendapati mereka dipaksa bekerja 14 jam sehari untuk membayar ejen pekerjaan di Nepal, ada yang berjumlah Rs115,000 (RM4,570), 10 kali ganda lebih tinggi daripada had yuran pengambilan RM400 yang ditetapkan kerajaan Nepal, tahun lalu.

Katanya, mereka tiada pilihan kecuali meneruskan pekerjaan bagi membayar hutang, walaupun mereka hanya dibayar RM700, separuh daripada gaji minimum yang ditetapkan Putrajaya.

“Kami rasa teruk kerana kami ada pinjaman besar untuk dibayar. Anda perlu kerja 3 tahun bagi membayarnya,” kata seorang pekerja di sebuah kilang di Johor Bahru.

The Guardian turut menyifatkan asrama pekerja asing itu penuh sesak dengan “14 lelaki dimuatkan dalam sebuah bilik berkulat”.

“Mereka berkongsi sebuah tandas rosak dan 2 bilik mandi yang disambung terus ke dapur dengan sebuah dapur gas,” menurut laporan itu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Asia untuk Pemerhati Hak Asasi Manusia, Phil Robertson berkata, syarikat pekerjaan itu terbabit dalam pengambilan buruh paksa.

“Mengambil seseorang dari Nepal dan meletakkan mereka di sebuah kilang di Malaysia menelan belanja dan jika kos ini tidak diterjemah ke dalam harga sebuah telefon, ketuhar gelombang mikro atau pembesar suara, maka mereka bersubahat dalam sistem yang menjangkakan pekerja menderita sebagai hasilnya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.