
Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, bekas Naib Ketua Pemuda PKR, Zahid Md Arip tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk memulakan saman terhadap Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.
“Kami memfailkan bantahan awal baru-baru ini dan mahkamah sudah memerintahkan kami membuat penghujahan bertulis untuk menyokong hujah kami,” katanya selepas pengurusan kes secara tertutup di hadapan hakim Hanipah Farikullah, hari ini.
Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili Zahid mengesahkan bantahan kerajaan dan akan menyerahkan pematahan terhadap permohonan itu.
Haniff berkata, mahkamah menetapkan 11 Januari 2017 untuk mendengar penjelasan lisan daripada semua pihak, termasuk saman sama yang difailkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau bagaimanapun berkata, kedua-dua kes akan didengar secara berasingan, walaupun tarikh ditetapkan pada hari sama dan hujah kedua-dua kes itu akan menyentuh isu Perlembagaan dan kesahihannya.
“Anak guam saya akan membangkitkan isu moral kerana Najib sudah berjanji akan mengumumkan laporan itu, tetapi beliau kemudiannya tidak berbuat demikian,” katanya.
Zahid sebelum ini berkata, perdana menteri dan Ambrin tidak boleh bersembunyi di sebalik Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana enggan mendedahkan laporan audit itu.
“Mengklasifikasikan ia di bawah OSA adalah pelanggaran undang-undang,” katanya dalam permohonan untuk semakan kehakiman.
Beliau berkata, laporan audit itu patut diserahkan kepada Agong sebaik sahaja ia disiapkan.
Zahid berkata, berlaku percanggahan kepentingan dalam mengklasifikasikan laporan audit itu sebagai rahsia kerajaan kerana perdana menteri turut didakwa terbabit dalam skandal 1MDB.
Azmin yang juga ahli Parlimen Gombak memfailkan semakan kehakiman dengan memetik keterangan Ambrin pada perbicaraan ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang dituduh di bawah OSA yang ketua audit negara melakukannya atas arahan Najib.
Azmin bagaimanapun berkata, terdapat konflik kepentingan di pihak Najib kerana peranannya sebagai penasihat 1MDB.