Matlan: Guna bekas pemain negara latih pelajar sekolah

Matlan: Guna bekas pemain negara latih pelajar sekolah

Matlan berkata, pemain bola sepak yang sudah bersara mempunyai pengetahuan dan pengalaman untuk memaksimumkan potensi bakat muda.

matlan-marjan
PETALING JAYA: Kerajaan sepatutnya membantu bekas pemain bola sepak kebangsaan memperolehi lesen jurulatih atau melatih mereka menjadi jurulatih sekolah, kata Matlan Marjan.

Bekas penyerang kebangsaan itu berkata, ia akhirnya akan memanfaatkan pemain bola sepak Malaysia kerana pemain di peringkat sekolah akan dibimbing profesional terlatih yang mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman.

Matlan yang kerjayanya dalam bidang bola sepak tamat selepas ditahan kerana disyaki terbabit dalam skandal mengatur perlawanan berkata, ada banyak bakat di peringkat sekolah.

“Kami sudah ada satu sistem di mana anak-anak muda boleh bermain dan bersaing dalam perlawanan bola sepak seperti Majlis Sukan Sekolah Daerah, Majlis Sukan Sekolah Negeri dan Majlis Sukan Sekolah Malaysia.

“Program mencungkil bakat sudah ada, jadi kita perlu memanfaatkan dan membangunkan bakat ini dari usia muda.”

Sehubungan itu, beliau berkata, lebih baik untuk bekas pemain negara diambil sebagai jurulatih sekolah daripada menggunakan khidmat guru pendidikan jasmani melatih bakat muda.

Katanya, ia juga antara cara bagi kerajaan membantu bekas pemain kebangsaan selepas mereka bersara, selain memberi bantuan kewangan untuk mereka memohon lesen jurulatih bagi memudahkan penyertaan mereka dalam bidang kejurulatihan.

Matlan berkata, kos untuk mendapatkan lesen jurulatih amat mahal dan bukan semua pemain bola sepak mendapat bayaran tinggi.

Anak jati Sabah itu menjadi pujaan penyokong bola sepak negara selepas menjaringkan 2 gol dalam perlawanan persahabatan antara Malaysia dan England, pada 1991, yang turut menampilkan Stuart Pearce, Nigel Clough, John Salako dan Gary Lineker.

Matlan dan 5 pemain Sabah lain ditahan pada 1995 atas dakwaan mengatur perlawanan. Walaupun pertuduhan terhadap mereka digugurkan, namun mereka dilarang menyertai sebarang aktiviti di peringkat negeri mahupun negara seumur hidup.

Sekalipun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah membenarkan mereka berenam menyertai perlawanan peringkat negeri tertentu, seperti perlawanan persahabatan veteran, FAM masih memerlukan lampu hijau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum boleh membatalkan penggantungan itu sepenuhnya.

Awal bulan ini, Daily Express melaporkan FAM sudah menerima jawapan daripada FIFA, namun mereka masih mengkaji kandungan maklum balas itu.

Selepas hampir 22 tahun, Matlan yang merupakan kontraktor kecil di kampung halamannya, Kota Belud masih menaruh harapan untuk penggantungan itu dibatalkan.

“Saya tidak mahu fikir jauh sangat mengenai apa yang saya mahu jika penggantungan saya dibatalkan. Saya akan beritahu bila ia berlaku,” katanya ketika ditanya jika beliau berhasrat menjadi jurulatih.

“Apa yang saya pasti ialah bola sepak adalah darah saya. Semua ahli keluarga saya bermain bola sepak, daripada isteri saya kepada adik-beradik dan anak saya. Ia cinta pertama saya dan saya tidak boleh tinggalkannya.”

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.