Umno tak boleh halang ahli sertai Baju Merah

Umno tak boleh halang ahli sertai Baju Merah

Tan Sri Annuar Musa berkata tidak ada cara untuk menghalang ahlinya daripada menyertai perhimpunan Bersih 5, Sabtu ini.

Annuar-Musa,-Umno,-Bersih,-Red-Shirts,-intimidation
KUALA LUMPUR: Umno tidak boleh menghalang ahlinya menyertai Baju Merah ketika perhimpunan Bersih 5 pada Sabtu ini, kata Tan Sri Annuar Musa hari ini.

Ketua penerangan Umno itu berkata tidak ada peraturan untuk menghalang ahlinya menyertai perhimpunan itu.

“Kami tidak menghalang mereka. Kita terus-terang, kebanyakan ahli Umno tidak suka dengan Bersih dan ada yang sudah tentu mahu menyertai Baju Merah. Tetapi itu semua di peringkat peribadi dan bukan organisasi.

“Beritahu saya bagaimana Umno boleh halang ahlinya jika mereka hendak pergi. Beritahu saya bagaimana. Jika polis tidak boleh halang mereka, anda rasa Umno boleh buat begitu?,” soalnya kepada wartawan ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, katanya mereka yang mahu menyertai perhimpunan itu perlu mematuhi undang-undang sebagai rakyat negara ini.

“Umno tidak akan menyokong apa-apa yang melanggar undang-undang. Semudah itu saja.

“Setiap tindakan ada reaksi saksama dan bertentangan. Jika anda turun ke jalanan dan mula menjerit, anda pasti menjangkakan reaksi. Jangan harap untuk turun ke jalanan dan buat apa-apa tapi orang lain senyap saja,” katanya.

Annuar sebelum ini berkata salah untuk mendakwa Umno menjadi dalang gerakan Baju Merah, yang terdahulu dilaporkan bersikap agresif terhadap penyokong Bersih 2.0.

Beliau berkata tidak adil untuk menyamakan sikap sedemikian dengan parti hanya kerana beberapa individu bertindak agresif.

Himpunan Bersih 5 akan diadakan Sabtu ini di jalanan sekitar Kuala Lumpur, dengan penyokong Bersih 2.0 akan mula berarak di Masjid Jamek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.