Putrajaya, Tokyo harap Trump terima TPPA

Putrajaya, Tokyo harap Trump terima TPPA

Kedua-dua negara sudah meluluskan resolusi di Parlimen masing-masing untuk mengambil bahagian dalam TPPA.

najib-tppa-3
TOKYO:
Putrajaya dan Tokyo bersependapat yang cadangan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) perlu dilaksanakan dan Putrajaya berharap kepentingan strategik pakatan perdagangan bebas itu akan diperakui pentadbiran Donald Trump.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pertemuan antara Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan presiden Amerika Syarikat yang baru dipilih, Trump pada 17 November, amat dinanti-nantikan semua negara yang terlibat dalam TPPA.

“Diharapkan kepentingan strategik TPPA akan diperakui oleh pentadbiran akan datang serta oleh semua negara-negara yang mengambil bahagian,” kata Najib pada sidang akhbar bersama dengan Abe di sini Rabu.

Najib berkata Putrajaya dan Tokyo meluluskan resolusi di Parlimen masing-masing untuk mengambil bahagian dalam TPPA.

“Jelas bagi Malaysia untuk meneruskan dengan TPPA, dan berharap ia akan mula berkuat kuasa,” kata Najib yang pada hari ke-2 lawatan kerja ke Jepun.

Terdahulu, Najib dan Abe mengetuai delegasi masing-masing bagi pertemuan dua hala di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Abe berkata kedua-dua negara akan mempercepatkan prosedur domestik masing-masing untuk penguatkuasaan awal TPPA.

Selain Jepun dan Malaysia, negara lain dalam terlibat TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.
Idea yang diilhamkan oleh presiden Amerika Syarikat yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan, Barack Obama, akan melibatkan kawasan perdagangan bebas yang meliputi kira-kira 40% daripada kuasa ekonomi global.

Bagaimanapun, Trump semasa kempen pilihan raya, beliau dilaporkan menyatakan TPPA tidak akan dilaksanakan.

Menyentuh mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Malaysia-Singapura, Najib berkata, Malaysia dan Singapura dijadual menandatangani perjanjian projek bersama awal bulan depan.

Beliau berkata tender antarabangsa bagi projek itu akan dibuka pada suku ke-4 2017.

Projek HSR yang dilaporkan melibatkan kos antara RM60 bilion dan RM65 bilion akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura dalam masa 90 minit dan menarik minat pembekal dari pelbagai negara termasuk China, Jepun, Korea Selatan dan Eropah.

Najib berkata hampir isu berkaitan perjanjian projek bersama diselesaikan.

“Saya memberi jaminan kepada Abe yang proses mencapai peringkat akhir keputusan (mengenai perjanjian projek) akan dilakukan secara telus dan objektif,” kata Najib.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata Malaysia menawarkan kepakaran teknikal kepada Jepun dalam pembangunan industri halal di negara ini kerana ia dalam usaha menarik lebih ramai pelancong Islam.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin itu menyaksikan pertukaran nota antara Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Datuk Seri Ahmad Puzi Kahar mengenai pemberian 2 kapal pengawal pantai Jepun kepada APMM.

Najib dan Abe juga menyaksikan pertukaran Memorandum Kerjasama antara Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) dan Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia (Mida) serta Jetro dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), yang berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Sementara itu, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor mengadakan pertemuan berasingan dengan Akie Abe, isteri Perdana Menteri Jepun, di sini.
Najib dan Rosmah kemudian menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Abe dan isteri di kediaman rasmi perdana menteri di sini.

Najib: Tiada AS, tiada TPP

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.