Jangan banding bajet Perak dengan Pulau Pinang, kata Zambry

Jangan banding bajet Perak dengan Pulau Pinang, kata Zambry

Menteri besar berkata tindakan itu tidak wajar kerana setiap pemimpin mempunyai cara tersendiri untuk mentadbir berdasarkan permasalahan dan keperluan dihadapi di negeri masing-masing.

Zambry-Abdul-Kadir_perak_penang_600
IPOH:
Adun Perak terutama pembangkang diminta tidak membandingkan Bajet 2017 Perak dengan negeri lain termasuk Pulau Pinang.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata tindakan tersebut tidak wajar kerana setiap pemimpin mempunyai cara tersendiri untuk mentadbir berdasarkan permasalahan dan keperluan dihadapi di negeri masing-masing.

“Setiap tahun pembangkang menjadikan Pulau Pinang sebagai contoh seolah-olah negeri itu model yang baik. Saya tidak mahu mengkritik kerana ia tidak baik.

“Jangan bandingkan Perak dengan Pulau Pinang kerana ia akan membawa kepada sikap mempertahankan diri sendiri yang akhirnya menyebabkan konflik antara 2 negeri,” katanya pada sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Zambry yang juga Adun Pangkor mengulas kenyataan beberapa Adun pembangkang semasa perbahasan Bajet 2017 Perak, yang menyifatkan ia sebagai terburuk kerana diunjurkan sebagai bajet defisit sebanyak RM129.68 juta.

Zambry turut mempersoalkan tindakan pembangkang membuat perbandingan kerana Bajet Pulau Pinang 2017 juga merupakan bajet defisit.

“Adakah bajet defisit RM600 juta di Pulau Pinang tidak terburuk? Di Selangor juga tidak terburuk?,” soalnya.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng membentangkan Bajet 2017 berjumlah RM1.45 bilion dengan defisit sebanyak RM667.1 juta berbanding RM292.13 juta defisit pada tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.