
Ahli Parlimen Amanah, Siti Mariah Mahmud berkata, usul itu ditolak di bawah Seksyen 23 (1)(h) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
Seksyen 23 (1)(h) melarang wakil rakyat bertanya soalan untuk mendapat pandangan sebagai penyelesaian kepada kes undang-undang abstrak atau andaian.
“Itu adalah alasan yang diberikan kepada saya. Sebabnya ada kaitan dengan bertanya soalan, tetapi usul itu bukan soalan.”
Ditanya sama ada beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan itu, Siti berkata, tidak ada gunanya, “speaker sudah kata ia adalah keputusan muktamad”.
Oktober lalu, Amanah membentangkan cadangan alternatif yang turut menyokong penambahan hukuman Mahkamah Syariah, tetapi ia amat berbeza daripada usul PAS di Dewan Rakyat.
RUU itu membayangkan kajian semula ke atas had hukuman yang boleh dikenakan Mahkamah Syariah sebagai sebahagian daripada peningkatan kuasa dan status mahkamah itu.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, cadangan balas itu jauh lebih baik daripada usul RUU persendirian Hadi yang tidak menjelaskan secara terperinci apa dimaksudhkan dan ia mungkin disalah anggap.
“Cadangan ini jauh lebih baik kerana ia lebih terperinci, merangkumi spektrum lebih luas berbanding sekadar menambah hukuman dan boleh diterima semua,” katanya.
Beliau berkata, jika Hadi betul-betul ikhlas hendak memperkasakan Mahkamah Syariah, beliau akan mempertimbangkan cadangan balas itu secara serius.
Pada 26 Mei lalu, Hadi membentangkan usul RUU persendirian yang dikenali sebagai RUU 355 di Dewan Rakyat bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah, supaya Kelantan boleh mengenakan beberapa jenis hukuman jenayah Islam, termasuk hukuman berkaitan hudud, kecuali hukuman mati.
Mahkamah Syariah bergerak mengikut undang-undang negeri. Bagaimanapun, statut Persekutuan perlu dipinda bagi membolehkan bidang kuasa itu diperluaskan.
Selain PAS dan Amanah, BN turut mencadangkan RUU sendiri bagi memperkasakan Mahkamah Syariah supaya penjenayah syariah dijatuhkan hukuman, termasuk melakukan khidmat masyarakat.
Pada 20 Oktober lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan berkata, kerajaan sedang mengkaji rancangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang mengehadkan hukuman ke atas penjenayah syariah kepada penjara 3 tahun, 6 sebatan dan denda RM5,000.
Kemungkinan RUU ke-3 berkaitan syariah, kali ini daripada BN