
Pengerusi PAC Datuk Seri Hasan Arifin berkata cadangan itu susulan kelewatan dan beberapa kelemahan dalam projek pembinaan Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah kementerian itu di Jalan Padang Tembak, di sini.
“Projek lewat siap selama 389 hari dan kelemahan daripada segi perancangan reka bentuk dan skop kerja.
“Peningkatan kos projek lebih RM300,000, kelewatan menduduki bangunan selama 25 bulan, kerja mekanikal dan elektrik tidak sempurna dan rundingan harga dengan perunding kerja hiasan dalaman lewat dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini hari ini, berhubung Laporan PAC Pembinaan dan Pengurusan Wisma Perwira (WP) ATM, Jalan Padang Tembak, di sini di bawah Kementerian Pertahanan yang dibangkitkan dalam pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2014 Siri 1 di Dewan Rakyat pada 6 April 2015.
Hasan berkata prosiding PAC hari ini dibuat dengan mendapatkan penjelasan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Muhamad Radzi berhubung isu projek berkenaan.
Hasil prosiding itu, PAC merumuskan antaranya dalam projek reka dan bina, segala keputusan perlu dimuktamadkan pada peringkat awal, selain berlaku kelemahan daripada segi kawal selia kontrak menyebabkan timbul permasalahan dalam projek itu.
“Kekurangan anggota dan kepakaran dalam pembinaan bangunan bertingkat dan kelemahan koordinasi dan prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan banyak kelemahan yang boleh dieksploitasi,” katanya.
Hasan berkata PAC turut mengesyorkan supaya penambahbaikan dibuat dengan mewujudkan pemantauan terhadap kualiti kerja Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) Kementerian Pertahanan.
“Kawalan keselamatan bangunan perlu diuruskan sendiri kementerian berbanding memberi pengendalian kontrak kepada pihak lain bagi mengelakkan kos tambahan.
“PBKP perlu meningkatkan kepakaran dan kemampuan kepada standard JKR pada masa depan dan Audit Dalam kementerian perlu memastikan kawalan dalaman dan SOP kementerian diperbaiki serta diperketat supaya kelemahan dapat dikurangkan,” katanya.
Katanya, walaupun WP siap, kementerian perlu membuat pemeriksaan tanah terlebih dulu sebagai tindakan memastikan keperluan teknikal dipatuhi dan struktur bangunan selamat.
Laporan tersebut boleh didapati di laman web PAC di www.parlimen.gov.my/pac, katanya.