
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini kerana warga Syria merupakan pelarian teramai di dunia ketika ini berbanding pelarian negara lain, termasuk Myanmar.
“Isu Syria ini amat mendesak, keadaan pelarian seluruh dunia kini amat getir dengan kira-kira 65.3 juta dipaksa meninggalkan negara masing-masing dengan jumlah pelarian paling ramai adalah Syria.
“Maka tidak wujud hulur bantuan kelas pertama atau kelas kedua. Kita bagi bantuan mengikut perikemanusiaan seperti yang pernah kita buat untuk warga Bosnia dan Acheh dahulu,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Azmin meminta penjelasan berhubung dakwaan kerajaan memberikan layanan istimewa kepada pelarian Syria berbanding pelarian negara lain.
Reezal Merican bagaimanapun berkata, kerajaan mengambil pendekatan membantu pelarian tanpa memberikan mudarat dan membebankan negara.
Menjawab soalan asal Azmin berkaitan pendirian kerajaan terhadap Konvensyen Berkaitan Pelarian 1951 di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Reezal Merican berkata, sehingga kini, Malaysia bukan negara pihak dan hanya Kemboja serta Filipina sahaja merupakan negara Asean yang menandatangani konvensyen berkenaan.
Beliau berkata, kajian menyeluruh perlu dilaksanakan dengan teliti sebelum menyertai mana-mana instrumen antarabangsa, termasuk konvensyen tersebut bagi mengetahui kesan dan implikasi penyertaannya kepada negara.
Katanya, kajian tersebut meliputi aspek ancaman keselamatan, peningkatan gejala sosial serta aspek beban kewangan yang perlu ditanggung kerajaan, sebelum benar-benar bersedia memikul tanggungjawab sebagai negara anggota konvensyen.