Lelaki diburu polis Malaysia ditahan di Medan

Lelaki diburu polis Malaysia ditahan di Medan

Khaizad memasuki Indonesia menggunakan tongkang menuju ke Batam, Kepulauan Riau, pada November 2015 dan seterusnya menaiki pesawat ke Medan, sebelum meneruskan perjalanan ke Bireun.

mohamad-khaizad-bin-hashim
JAKARTA:
Lelaki yang dikehendaki di Malaysia dan menjadi buruan polis sejak setahun lalu, Mohamad Khaizad Hashim, ditangkap pihak berkuasa Indonesia di Medan, Sumatera Utara, 3 hari lalu.

Ketua Jabatan Imigresen Medan, Lilik Bambang yang dipetik media tempatan hari ini berkata, Khaizad, 51, ditangkap di sebuah rumah di Jalan Glambir V, Gang Atok Ajung, Medan.

Beliau berkata, Khaizad memasuki Indonesia sejak November 2015 menggunakan kad pengenalan palsu Indonesia atas nama Khairul Azam.

“Dia memasuki Medan dari Aceh, kita membuat siasatan selama 3 bulan dan mendapat maklumat orang awam di kawasan itu kerana identitinya mencurigakan,” katanya.

Khaizad, seorang pemandu, didakwa di Mahkamah Seremban kerana memeras ugut RM15,000 daripada pemilik restoran nasi ayam Hainan di Seremban, kononnya untuk merasuah pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menutup kes rasuah pada Ogos 2007.

Dia yang dalam jaminan bagaimanapun menghilangkan diri dan tidak hadir ke mahkamah untuk perbicaraan sejak tahun lalu.

Lilik berkata, siasatan awal mendapati Khaizad memasuki Indonesia menggunakan tongkang menuju ke Batam, Kepulauan Riau, pada November 2015 dan seterusnya menaiki pesawat menuju ke Medan, Sumatera Utara, sebelum meneruskan perjalanan ke Bireun di Aceh.

“Khaizad kemudian menetap di Bireun dan menggunakan identiti sebagai warganegara Indonesia, dan ketika ditangkap mempunyai pelbagai dokumen peribadi sebagai rakyat Indonesia, termasuk lesen memandu, kad pengenalan dan pasport Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan dengan pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Medan mengesahkan Khaizad sebagai buruan polis Malaysia.

“Khaizad kini ditahan bagi siasatan lanjut dan dia akan didakwa menggunakan identiti palsu serta memasuki Indonesia secara tidak sah,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim ketika dihubungi mengesahkan penangkapan itu.

Katanya, Konsul Jeneral Malaysia dan Atase Polis Malaysia di Medan diarah memberi kerjasama bagi membantu siasatan pihak berkuasa Indonesia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.