Gempa kuat: 1,200 pelajar Malaysia di Christchurch selamat

Gempa kuat: 1,200 pelajar Malaysia di Christchurch selamat

Idris berkata, Pejabat Education Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia di New Zealand sudah menghubungi semua wakil pelajar di 8 universiti terbabit selepas bencana itu bagi mengetahui keadaan mereka.

Datuk-Seri-Idris-Jusoh
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan Tinggi mengesahkan 1,200 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di 8 universiti di Christchurch, New Zealand, selamat daripada gempa kuat yang melanda negara itu, sejak semalam.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Pejabat Education Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia di New Zealand sudah menghubungi semua wakil pelajar di 8 universiti terbabit selepas bencana itu bagi mengetahui keadaan mereka.

Education Malaysia di New Zealand menasihatkan pelajar Malaysia supaya sentiasa peka dan berjaga-jaga serta mematuhi nasihat Pertahanan Awam New Zealand.

Dua maut apabila gempa kuat berukuran 7.8 pada skala Richter melanda tengah New Zealand, pada jam 7.02 malam Ahad (waktu Malaysia) dan mencetuskan tsunami yang membadai pantai timur laut Pulau Selatan di negara itu.

Ia disusuli satu siri gempa susulan direkodkan di seluruh New Zealand, ada yang berukuran 6.1 pada skala Richter.

Hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan dipetik Bernama melaporkan, satu gempa kuat berukuran 6.5 pada skala Ritcher melanda luar pantai timur Pulau Selatan pada jam 8.34 pagi tadi, 151km timur laut dari bandar Christchurch.

Kejadian itu tidak membawa ancaman tsunami kepada Malaysia.

New Zealand dibadai tsunami, selepas gempa kuat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.