PPBM tunggu kerjasama dengan PAS

PPBM tunggu kerjasama dengan PAS

Presiden PPBM berkata parti itu menunggu isyarat bila akan dapat kembali duduk berbincang dengan PAS sebelum memeterainya mungkin melalui perjanjian persefahaman.

Muhyiddin
SHAH ALAM: Selain bersama Pakatan Harapan, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga sedang menunggu untuk membentuk kerjasama secara rasmi dengan PAS.

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebagai parti baharu, sudah menjadi dasar PPBM untuk menjalinkan kerjasama dengan semua parti politik.

Beliau berkata pertemuan pertama antara PPBM dengan PAS berjalan baik dengan pihaknya kini sedang menunggu untuk mengadakan perbincangan seterusnya.

“PAS juga menunjukkan kesanggupannya untuk berbincang dengan kita berhubung pilihan raya seterusnya, misalnya soal 1 lawan 1. Perbincangan pertama sudah diadakan.

“Sekarang (PPBM) menunggu isyarat bila kita akan dapat kembali duduk berbincang, sebelum memeterainya mungkin melalui perjanjian persefahaman. Saya akan menunggu respons mereka,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Pakatan Harapan hari ini.

Pada 7 November lalu, Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengesahkan partinya memang berbincang dengan PPBM berhubung pilihan raya akan datang, namun perlu berbincang secara lebih lanjut.

Dalam ucapannya, bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau komited untuk bersama-sama dengan Pakatan, tetapi perlu lebih masa agar kedua-dua pihak dapat berbincang secara lebih mendalam.

Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan menangguhkan penyertaan PPBM dalam Pakatan Harapan, yang dijadualkan hari ini, kerana ingin bekerjasama dengan PAS terlebih dulu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.