
Setiausaha Agung PPBM Datuk Sharuddin Md Salleh dalam satu kenyataan berkata di masa depan PPBM akan digunakan dalam semua urusan rasmi parti, termasuk ceramah, penerbitan serta penggunaan poster, bunting dan kain rentang.
Beliau berkata demikian menjawab surat amaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Negara bertarikh 9 November lepas.
“Antara lain surat tersebut memberi amaran bahawa ‘sekiranya terdapat bukti yang menunjukkan pihak PPBM masih lagi menggunakan nama atau panggilan Bersatu dalam apa keadaan sekalipun, ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap PPBM termasuklah tindakan yang boleh menyebabkan pembatalan pendaftaran PPBM.”
“Kita perlu akur dengan peringatan tersebut kerana pasti kita tidak mahu isu ini akan menganggu gugat semua penat lelah yang telah dan sedang dilakukan oleh semua pihak untuk menguatkan parti.”
Pihaknya bagaimanapun kecewa kerana orang ramai dan ahli parti sudah sebati dengan nama “Bersatu”.
PPBM ditubuhkan bekas pemimpin Umno Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin awal tahun ini dalam usaha mereka untuk mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno.
Diluluskan pendaftaran pada September, Muhyiddin yang juga presiden parti dilaporkan berkata JPPN tidak membenarkan parti itu dipromosikan sebagai “Bersatu” kerana sudah ada parti lain menggunakan singkatan itu.
Muhyiddin menambah pihaknya tidak mahu pertikaikan ketetapan JPPN.