Jangan terlalu desak PAS, pesan Azmin

Jangan terlalu desak PAS, pesan Azmin

"Tidak mudah bagi saya untuk yakinkan rakan dalam Pakatan Harapan, keadaan politik semasa memerlukan kita mengelakkan pertembungan 3 penjuru."

azmin
SHAH ALAM: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa Pakatan Harapan agar tidak terlalu mendesak PAS dalam soal kerjasama pembangkang.

Nada itu sedikit berbeza dengan kebanyakan ucapan pemimpin Pakatan Harapan dalam konvensyen hari ini, yang bertegas PAS sama ada bekerjasama dengan pembangkang atau dilihat menyokong BN.

“PKR akan teruskan kerjasama dengan PAS atas prinsip tahaluf siyasi, dan terus berbincang dengan mereka. Setakat ini kenyataan dan tindakan PAS, termasuk Mursyidul Am Hashim Jasin adalah sangat positif.

“Ia satu permulaan yang baik, tapi jangan terlalu menekan PAS,” katanya ketika ditemui pemberita di Konvensyen Pakatan Harapan hari ini.

Beliau sekali lagi menekankan kepentingan kerjasama antara Pakatan Harapan dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan 3 penjuru pada pilihan raya akan datang.

“Saya memainkan peranan (berunding dengan PAS) beberapa bulan kebelakangan ini. Tidak mudah bagi saya untuk yakinkan rakan dalam Pakatan Harapan, keadaan politik semasa memerlukan kita mengelakkan pertembungan 3 penjuru,” kata Menteri Besar Selangor itu lagi.

Azmin antara segelintir pemimpin dalam Pakatan Harapan yang dilihat ingin mengekalkan kerjasama dengan parti orang Melayu kedua terbesar itu.

Beliau turut berkata pembangkang perlu menyelesaikan perbincangan tentang kerjasama mereka sekurang-sekurangnya 6 bulan sebelum pilihan raya umum, agar persiapan seperti jentera dan calon dapat dilakukan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.