Guna dron bantu sesi latihan Harimau Malaysia, kata Ong

Guna dron bantu sesi latihan Harimau Malaysia, kata Ong

Jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan itu berkata teknologi dron digunakan untuk merangsang harapan skuad kebangsaan dalam Piala Suzuki AFF.

Ong-Kim-Swee
PETALING JAYA:
Seiring waktu, Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) kini menggunakan dron untuk merakamkan sesi latihan pasukan skuad kebangsaan, lapor ESPNFC.com hari ini.

Dua dron kelihatan berlegar di kawasan latihan di ibu pejabat FAM di Kelana Jaya, di sini baru-baru ini.

Jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee kemudian mengesahkan penggunaan dron itu dan berkata ia akan sangat membantu pemainnya.

“Pemain akan berkembang dengan penggunaan teknologi video aerial ketika latihan.

“Dron sangat berguna dalam latihan taktikal kami kerana ia memberikan saya pandangan keseluruhan sesi itu. Kami bukan menggunakannya kerana ia popular.

“Lebih pun kami menggunakannya dengan cara progresif,” katanya dipetik daripada portal sukan itu.

Ong pada masa ini sedang menyiapkan skuadnya untuk perlawanan Piala Suzuki AFF 2016, yang akan bermula minggu depan di Myanmar dengan Malaysia bermain dalam Kumpulan B bersama tuan rumah, Vietnam dan Kemboja.

Sesetengah bekas pemain bola sepak dan jurulatih Eropah juga menyokong penggunaan dron dalam latihan, termasuk bekas penyerang England dan kelab Liverpool, Michael Owen dan bekas pengurus Everton, Roberto Martinez yang pada masa ini melatih Belgium.

Ong berkata beliau percaya teknologi itu akan membantu pemainnya mendapatkan perspektif lebih luas dalam asas latihan, jika dibandingkan dengan penggunaan klip video sebelum ini dari pandangan dari padang saja.

“Saya akan tunjuk kepada pemain pergerakan keseluruhan mereka, dan bagaimana boleh meningkatkannya secara taktikal. Kami sudah menggunakannya selama 4 hari dan ia banyak membantu,” katanya dipetik daripada ESPNFC.

Bercakap mengenai persediaan untuk perlawanan itu, Ong berkata ada sesi pagi untuk menambah dan meningkatkan paras kecergasan pemain, dan 2 lagi sesi pada jam 3 petang, untuk membiasakan pemain dengan bahang yang akan dihadapi di Yangon.

Malaysia memulakan kempen Piala Suzuki AFF 2016 pada Ahad, 20 November menentang Kemboja. Ia akan diikuti dengan perlawanan dengan Vietnam pada 23 November dan tuan rumah Myanmar pada 26 November.

Dengan 2 perlawanan diadakan jam 3 petang, pemain Harimau Malaya akan bersedia dengan cuaca panas dengan bermain 90 minit dalam pertandingan persahabatan menentang Papua New Guinea pada Isnin depan di Stadium Shah Alam pada jam 3 petang.

Bagi menggalakkan lebih ramai peminat hadir menyaksikan perlawanan itu, FAM membuat keputusan untuk tidak mengenakan tiket bagi pertandingan itu.

“Sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang menyokong kami sepanjang 2016, kami akan membenarkan peminat masuk percuma menyaksikan perlawanan persahabatan itu,” kata Setiausaha Agung FAM Hamidin Amin dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami harap mereka akan datang dan sokong pasukan ini sebagai dorongan untuk mereka sebelum berlepas ke Yangon,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.