
Menulis dalam New Straits Times baru-baru ini, Marzieh yang merupakan duta wanita pertama dari Iran bagaimanapun kecewa dengan sikap sesetengah pihak di beberapa negara yang cuba menafikan hak perbezaan antara mazhab dalam Islam.
“Daesh (IS) sebagai contoh paling jahat, kini memberikan kesan buruk terhadap kedua-dua Sunni dan Syiah. Dalam dunia hari ini di mana pelampau melancarkan peperangan, adalah bijak dan penting bagi golongan sederhana bersatu,” katanya, sambil memetik perumpamaan Bahasa Melayu, “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.
Iran merupakan antara negara Islam dengan penduduk majoriti Islam Syiah, namun aliran itu difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama di Malaysia. Beberapa pengikut aliran di Selangor dan Melaka baru-baru ini ditahan penguatkuasa agama.
Bulan lalu, Presiden Iran, Hassan Rouhani melawat Malaysia dan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Marzieh berkata Iran dan dunia Melayu mempunyai pertalian kebudayaan berabad lamanya sejak zaman kesultanan Melaka, dan memberi contoh pelbagai istilah Melayu yang berasal daripada bahasa Parsi.
“Banyak perkataan yang berkait perdagangan berasal daripada bahasa Parsi, seperti saudagar, dewan, daftar, nakhoda dan bandar,” katanya.
Menurutnya, penyair Parsi abad ke-13, Sa’adi Shirazi pernah menghasilkan puisi yang berbunyi, “ze taj malek zadehi dar melakh shabi la’li oftad dar sanglakh”, yang merujuk kepada batu permata milik mahkota putera Melaka yang terjatuh ke tanah.
“Pengkaji sastera Parsi percaya ‘melakh’ yang disebut dalam puisi itu merujuk kepada Melaka. Kesultanan Melaka menerima ramai saudagar Parsi menjalankan perdagangan,” kata Marzieh.
50 warga Pakistan Syiah ditahan sambut Hari Asyura di Selangor