
Beliau berkata IPG ini amat penting untuk memenuhi matlamat pendidikan di negeri itu.
Bercakap kepada FMT, Jisin menafikan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Chong Sin Woon yang berkata awal hari ini terdapat terlalu banyak IPG kurang digunakan sepenuhnya.
Jisin, bagaimanapun tidak bersetuju dan menggesa Chong melawat IPG di Sarawak dan melihat sendiri jika ia benar-benar tidak digunakan sepenuhnya.
“IPG di Miri dan Samarahan sangat aktif.
“IPG di Miri adalah penting terutamanya untuk bakal guru Sarawak belajar di sana,” katanya berkenaan kedua-dua IPG yang diputuskan untuk ditukar status kepada kolej atau politeknik vokasional.
Jisin berkata Sarawak tidak boleh mencapai matlamatnya tanpa 3 IPG sedia ada, terutamanya jika mahu mencapai sasaran 90:10 guru Sarawak berbanding bukan rakyat Sarawak untuk berkhidmat di negeri ini.
Jisin berkata kerajaan negeri sudah mempunyai 2 kolej vokasional di Kuching dan Mukah. Bagaimanapun, kolej di Mukah tidak mempunyai pelajar mencukupi.
“Kerajaan perlu diberi hak memutuskan perkara itu. Kami lebih tahu keperluan kami,” kata Jisin.
Baru-baru ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem mengecam langkah menukar kedua-dua IPG di negeri itu kepada kolej vokasional dan menyatakan ia tindakan “bodoh”.
Chong berkata kementerian akan menetapkan tarikh dengan kerajaan Sarawak tidak lama lagi untuk menjelaskan keadaan.
Pada masa ini terdapat 27 kampus IPG di seluruh negara dan diumumkan 9 daripadanya akan ditukar kepada kolej atau politeknik vokasional.
PAUTAN: