
Bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dakwaan tersebut dibuat bagi mengalihkan perbincangan mengenai keputusan pentadbiran Azmin untuk membayar sebanyak RM2.7 bilion ke atas ekuiti syarikat konsesi air itu, iaitu 10 kali lebih tinggi daripada tawaran asal yang berjumlah RM250.6 juta.
“Kami tidak pernah bercadang pada bila-bila masa untuk membayar RM2.9 bilion untuk ekuiti SPLASH seperti yang didakwa oleh Azmin.
“Dalam tawaran terakhir (kepada SPLASH), kami merasakan tawaran yang berpatutan adalah sebanyak RM250.6 juta bagi bayaran ekuiti serta tujuan menanggung hutang yang berjumlah RM1.564 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khalid mengulas kenyataan Azmin yang disiarkan satu portal berita semalam, antara lain menyatakan kerajaan negeri semasa di bawah Khalid tidak pernah memaklumkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan tawaran RM2.975 bilion yang dibuat kepada SPLASH melalui surat bertarikh 25 Jun
2009 dan seterusnya pada 19 Julai 2009.
“Pentadbiran sebelum ini menyatakan nilai tawaran pengambilalihan SPLASH adalah sebanyak RM250 juta dan inilah angka yang diuar-uarkan seantero dunia, namun orang yang sama tidak pernah memaklumkan kepada Dewan berkenaan tawaran RM2.975 bilion yang dibuat kepada SPLASH melalui surat bertarikh 25 Jun 2009 dan seterusnya 19 Julai 2009,” kata Azmin ketika sesi penggulungan
Belanjawan 2017 Negeri pada sidang DUN Selangor di sini semalam.
Khalid berkata dalam tawaran terakhir kepada SPLASH, pihaknya menggunakan kaedah pembayaran ekuiti berdasarkan pulangan 12% setahun kepada ekuiti serta potongan mana-mana dividen yang dibayar.
Katanya, kaedah ini adalah adil memandangkan terma tersebut dinyatakan di dalam Perjanjian Penswastaan air yang ditandatangani oleh semua syarikat konsesi termasuk SPLASH.
Dalam pada itu, Khalid menegaskan pengambilalihan industri air secara keseluruhan tidak boleh melebihi kos sebanyak RM9.65 bilion kerana ia akan memberi kesan kepada tarif air pada masa hadapan dan usaha untuk menurunkan air tidak terhasil di Selangor.