Keadaan di Jakarta terkawal selepas demonstrasi

Keadaan di Jakarta terkawal selepas demonstrasi

Duta Malaysia di Indonesia meminta penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan keresahan orang ramai dihentikan.

Zahrain Mohamed
JAKARTA: Kedutaan Besar Malaysai di Indonesia hari ini meminta rakyat Malaysia tidak menyebarkan maklumat dan berita palsu mengenai kononnya berlaku pengemboman di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di sini.

Sambil menafikan insiden seumpama itu berlaku, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata keadaan di Jakarta selamat dan terkawal selepas satu demonstrasi diadakan di ibu kota ini semalam.

Beliau memberitahu ada pihak tidak bertanggungjawab sedang menyebar gambar dan maklumat palsu mengenai kononnya lapangan terbang itu dibom dan beberapa orang maut dalam demonstrasi semalam.

“Hentikan penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan keresahan orang ramai. Pihak kami sentiasa memantau perkembangan semasa di Indonesia dan rakyat Malaysia yang mahu berkunjung ke Jakarta boleh mendapatkan maklumat sahih dari kedutaan atau menghubungi Wisma Putra,” katanya.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh, katanya seorang rakyat Indonesia meninggal dunia akibat penyakit asma ketika berada dalam kesesakan perhimpunan itu.

Zahrain berkata Kedutaan Malaysia juga memastikan tiada seorang pun rakyat Malaysia terbabit dalam demonstrasi berkenaan.

Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan syabas kepada pihak berkuasa Indonesia kerana menangani demostrasi itu dengan baik walaupun perhimpunan umat Islam itu berakhir dengan sedikit kekecohan akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab.

Semalam, ratusan ribu umat Islam semalam menyertai demonstrasi itu bagi membantah Gabenor Jakarta Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok yang disifatkan sebagai penista agama Islam.

Ahok ketika bertemu dengan pengundi di Pulau Seribu bulan lepas meminta mereka supaya tidak terpedaya dengan pihak yang menggunakan surah Al Maidah untuk melarang mereka memilih pemimpin bukan daripada kalangan umat Islam.

Ahok dicabar 2 pasangan yang bertanding bagi 2 lagi gabungan parti-parti politik iaitu pasangan Anies Bsawedan-Sandiaga Uno dan pasangan Agus Harimurti Yudhoyono-Sylviana Murni pada Februari tahun depan.

Sementara itu, Kementerian Luar Indonesia dalam satu kenyataan berkata Presiden Joko Widodo menangguhkan lawatannya ke Australia esok bagi membolehkannya memantau secara peribadi perkembangan selepas demonstrasi itu.

Presiden Republik Indonesia itu dijadual mengunjungi Australia selama 2 hari mulai Ahad bagi mengadakan perbincangan 2 hala dengan rakan sejawatannya Malcolm Turnbull.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.