MTUC: Kelemahan ekspatriat dieksploitasi

MTUC: Kelemahan ekspatriat dieksploitasi

Setiausaha agung MTUC berkata warganegara Bangladesh dibawa masuk sebagai pekerja berkemahiran atau separa mahir, tetapi dibayar gaji pekerja am.

Gopal-Kishnam
PETALING JAYA: Ramai warga Bangladesh dibawa masuk ke dalam negara ini sebagai ekspatriat, tetapi tidak dibayar gaji yang sepatutnya diterima, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini.

Setiausaha agungnya, N Gopal Kishnam mendakwa kelemahan “ekspatriat” dieksploitasi oleh mereka yang membawa masuk pekerja imigran ke dalam negara ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan FMT yang warga Bangladesh membentuk majoriti 166,817 pekerja asing di Malaysia dalam jawatan “pengurusan” dan kerja yang memerlukan kemahiran teknikal.

“Setiap hari, ada banyak pesawat dari Bangladesh tiba di Malaysia,” kata Gopal, dan berkata pegawai MTUC melawat beberapa lapangan terbang untuk memantau apa yang berlaku di sana.

“Kami bercakap dengan warga Bangladesh dan mereka beritahu datang ke Malaysia sebagai pekerja berkemahiran dan separa mahir.

“Namun, mereka beritahu kami gaji mereka hanya RM1,000 sebulan, dan terpaksa bekerja 12 hingga 14 jam sehari,” katanya.

Beliau berkata kelemahan ekspatriat itu dieksploitasi lebih setahun, tetapi ia diperhebat selepas kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing pada Februari.

Di Malaysia, pekerja yang diambil di bawah skim ekspatriat perlu dibayar minimum RM5,000 sebulan. Mereka dikategorikan sebagai “ekspatriat”, terma yang kerajaan tidak gunakan kepada pekerja warga asing dalam pekerjaan dengan bayaran rendah.

Februari lalu, kerajaan menggantung pengambilan pekerja asing selepas masyarakat umum membantah rancangan membawa masuk sejumlah besar pekerja dari Bangladesh.

Menangani bantahan itu, pihak berkuasa berkata permintaan industri terhadap pekerja asing sangat tinggi kerana rakyat Malaysia enggan bekerja dalam sektor kotor, sukar dan bahaya (3D).

Bagaimanapun, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak bersetuju dan berkata rakyat Malaysia sanggup membuat kerja berkenaan asalkan gaji yang diterima bersesuaian.

“Masalahnya ialah kerja ditawarkan secara kontrak dan ini bermakna kekurangan jaminan pekerjaan,” katanya.

Terdahulu hari ini, dalam laporan Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini, warga Bangladesh paling ramai menjadi ekspatriat di negara ini, diikuti warga India, China, Filipina, Jepun dan Indonesia juga tinggi.

Di Malaysia, pekerja asing “bukan ekspatriat” dibenarkan untuk bekerja dalam 5 sektor saja – pembinaan, pembuatan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.

Lebih 60,000 ekspatriat Bangladesh di Malaysia

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.