
Mengikut undang-undang, pekerja itu perlu dibayar minimum RM5,000 sebulan. Mereka dikategorikan sebagai “ekspatriat”, terma yang kerajaan tidak gunakan kepada pekerja warga asing dalam pekerjaan dengan bayaran rendah.
Di Malaysia, ekspatriat didefinisikan sebagai warga asing yang layak untuk salah satu daripada berikut:
- Jawatan pengurusan tertinggi di syarikat milik asing
- Jawatan pengurusan pertengahan yang memerlukan kelayakan akademik sesuai, pengalaman kerja dan kemahiran praktikal; dan
- Jawatan bukan eksekutif yang memerlukan kemahiran teknikal yang sesuai dan pengalaman kerja.
Menurut statistik Kementerian Dalam Negeri yang diterbitkan dalam laporan Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini, terdapat 62,110 warga Bangladesh atau 37% daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja ekspatriat di negara ini.
Jumlah ekspatriat dari India, China, Filipina, Jepun dan Indonesia juga tinggi.
Menurut laporan itu, kebanyakan ekspatriat bekerja dalam industri perkhidmatan, diikuti dengan pembinaan dan IT. Ia tidak memberi pecahan ekspatriat dalam industri mengikut kewarganegaraan masing-masing.
Februari lalu, kerajaan menggantung pengambilan pekerja asing selepas masyarakat umum membantah rancangan membawa masuk sejumlah besar pekerja dari Bangladesh.
Menangani bantahan itu, pihak berkuasa berkata permintaan industri terhadap pekerja asing sangat tinggi kerana rakyat Malaysia enggan bekerja dalam sektor kotor, sukar dan bahaya (3D).
Bagaimanapun, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak bersetuju dan berkata rakyat Malaysia sanggup membuat kerja berkenaan asalkan gaji yang diterima bersesuaian.
Katanya terdapat lebih 300,000 rakyat Malaysia bekerja dalam sektor 3D di Singapura.
Selepas pembekuan itu diumumkan, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencabar golongan beliau untuk bekerja dalam sektor 3D supaya negara ini dapat mengurangkan kebergantungan terhadap buruh asing.
Pada Disember tahun lalu, dilaporkan kira-kira 400,000 warga Malaysia yang menganggur, dengan graduan universiti seramai 150,000.
Di Malaysia, pekerja asing “bukan ekspatriat” dibenarkan untuk bekerja dalam 5 sektor saja – pembinaan, pembuatan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan.
Para Rabu, Zahid berkata pembekuan dalam pengambilan pekerja asing menyebabkan perniagaan kerugian RM24 bilion, kebanyakan dalam perladangan dan sektor pembuatan perabot.
Beliau berkata kerajaan membuat keputusan untuk mengecualikan sektor pembinaan infrastruktur daripada pembekuan itu.