
“Dulu kita mempunyai pengalaman menghadapi komunis bersama-sama negara barat yang menghadapi ancaman sama.
“Sekarang kita tiada pengalaman (tangani IS). Perkongsian dengan negara Timur Tengah juga agak terbatas berikutan kekangan pemahaman berbeza kerana Malaysia negara Islam dengan pemahaman sederhana,” katanya selepas menghadiri Dialog Memerangi Keganasan Asia-Eropah, di sini, hari ini.
Terdahulu, Zahid yang juga menteri dalam negeri merupakan seorang daripada penceramah utama pada dialog itu dan berkongsi pentas dengan Setiausaha Negara Parlimen di Kementerian Dalam Negeri Jerman Dr Gunter Krings MdB.
Mereka mengupas topik “Landskap Ancaman Baharu di Asia dan Eropah”.
Pada dialog itu, Zahid berkata Malaysia bersedia berkongsi modul deradikalisasinya dengan Eropah yang bagi tempoh 10 tahun lepas berjaya meradikalisasikan kira-kira 240 tahanan, dengan kadar kejayaannya kira-kira 97.5%.
“Kami menggunakan pengetahuan luas kami dalam menangani elemen subversif semasa perjuangan menentang komunis untuk merumuskan program yang amat berkesan ini,” katanya.
Zahid berkata Deradikalisasi Bersepadu Pengganas dibangunkan Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia.
“Kini ia digunakan dalam proses meradikalisasi pengganas yang ditahan di Malaysia,” katanya.
Zahid berkata ini masa yang amat penting untuk negara meningkatkan kerjasama dan persahabatan dengan Eropah dalam menangani ancaman IS.
“Apa yang Asia dan Eropah lakukan setakat ini hanya membabitkan usaha pencegahan tetapi masih belum membuahkan hasil dalam menentukan punca keganasan,” katanya.
Menjawab soalan daripada hadirin mengenai bila dan bagaimana ancaman IS dapat ditangani, Zahid menjawab: “Fahami orang Islam kerana IS sentiasa dikaitkan dengan orang Islam.”
“Kita perlu terlebih dulu cari puncanya kenapa keganasan berlaku. Kenapa wujud Islamofobia.
“Islam menggalakkan keamanan. Apa saja yang menentangnya (keamanan), ia bukan cara Islam,” katanya sambil membacakan ayat khusus dalam Al-Quran mengenai keamanan.
Zahid turut memberikan contoh Singapura yang melayani rakyat beragama Islam dengan baik walaupun ia bukan sebuah negara Islam.
“Contohnya, kerajaan Singapura menjaga dengan baik masjid di negara ini,” katanya.
Beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang sederhana dan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum dan agama juga hidup bersama-sama dalam keadaan aman dan harmoni.