Silap ditahan Stafoc: Doktor Hospital Serdang belum cadang saman polis

Silap ditahan Stafoc: Doktor Hospital Serdang belum cadang saman polis

Dr Thanendran berkata, beliau akan menunggu perkembangan daripada Kementerian Kesihatan, sebelum mengambil tindakan lanjut.

doctor-polis
PETALING JAYA:
Seorang doktor di Hospital Serdang yang menjadi mangsa tangkapan sepasukan polis elit pada awal bulan ini, belum bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap kesilapan Pasukan Tugas Khas Melawan Jenayah Terancang (Stafoc).

Dr Thanendran Renganathan berkata, beliau memutuskan untuk menunggu perkembangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Buat masa ini, saya tidak mahu mengulas lanjut. Setakat ini, pihak saya belum ambil apa-apa tindakan dan saya menunggu perkembangan KKM terlebih dahulu,” katanya kepada FMT hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis tidak akan memohon maaf kepada doktor berusia 28 tahun itu, kerana Stafoc hanya menjalankan tugas mereka, memandangkan mangsa berkelakuan seperti suspek yang diburu dalam kejadian pada 7 Oktober lalu.

Sementara itu, wakil Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) mengekalkan keputusannya sebelum ini yang mengutuk penahanan doktor muda itu.

“Kami sendiri tidak tahu Prosedur Operasi Standard (SOP) polis macam mana. Kami Imam mempertahankan kenyataan sebelum ini, sebab kami persatuan doktor, maka kami pertahan doktor.

“Kalau nak jawab kenyataan ketua polis, kami rasa macam itu juga kenyataan Imam. Kami doktor kerja tolong orang, kalau orang buat jahat kepada kami, kami bersuara,” kata seorang ahli jawatankuasa Imam ketika dihubungi hari ini.

Imam sebelum ini menyambut baik kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang akan bertindak terhadap mana-mana pihak mengancam keselamatan petugas kesihatan.

“Kebanyakan mereka menghabiskan dan mengorbankan sebahagian besar masa untuk kesihatan rakyat negara ini. Ada yang bekerja 36 jam berterusan dan juga hujung minggu untuk menjaga kesihatan rakyat,” kata Presiden Imam, Dr Jeffrey Abu Hassan, Rabu lalu.

PAUTAN:

Khalid: Polis tidak akan minta maaf, doktor ditahan kerana lari ‘lintang pukang’

Pasukan elit polis silap cekup doktor muda di Hospital Serdang

Pertubuhan doktor Islam puji langkah pertahan keselamatan petugas kesihatan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.