Perjuangan Warisan dan Adenan sama

Perjuangan Warisan dan Adenan sama

Parti baharu itu juga memperjuangkan untuk mengembalikan status wilayah Borneo agar setaraf dengan Semenanjung Malaysia, kata Junz Wong.

adenan-karim-junz-wong-1
PETALING JAYA:
Parti Warisan Sabah (Warisan) yang baru didaftarkan minggu ini menggesa rakyat Sabah dan Sarawak bersolidariti dalam mendesak apa yang dianggap sebagai “pengembalian” status 2 negeri itu untuk setaraf dengan Semenanjung Malaysia dalam Persekutuan Malaysia.

“Kami sama setaraf. Tidak ada keraguan mengenainya,” kata Naib Presiden Warisan Junz Wong dalam satu temu bual dengan FMT.

Beliau berkata pemimpin Sabah dan Sarawak tidak akan bersetuju untuk membentuk Malaysia pada 1963 jika kedua-dua wilayah itu hanya mempunyai kesaksamaan dengan individu dari negeri di Semenanjung.

Wong berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pakar undang-undang Aziz Bari mengenai status Sabah dan Sarawak dikurangkan ke tahap yang dipegang individu di negeri semenanjung dan Wilayah Persekutuan.

Aziz merujuk kepada desakan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem untuk mengembalikan status negerinya, dan berkata pemimpin Sarawak terlepas peluang dalam membuat bantahan terhadap pindaan perlembagaan pada 1976.

Bagaimanapun, Wong berkata masih belum terlewat untuk Sabah dan Sarawak memperjuangkan hak mereka untuk diiktiraf setaraf dengan Semenanjung Malaysia dan masanya ialah sekarang.

Katanya, ahli Parlimen Malaysia Timur, tanpa mengira kaitan politik, perlu mendesak perkara ini di Parlimen.

Beliau juga memuji Adenan kerana berjaya menyatukan rakyat Sarawak dalam isu itu.

Katanya, Warisan dan Adenan dalam hala tuju yang sama meskipun berada di aliran politik berbeza.

“Kami juga mahu menyatukan semua orang dan mendesak kedudukan serta hak kami dikembalikan,” katanya.

Beliau mendesak ahli Parlimen Sabah dan Sarawak membentuk satu blok dan menghantar “mesej jelas” kepada mana-mana parti berminat untuk memenangi pilihan raya umum akan datang yang mereka perlu menjamin kedudukan dan hak Sabah dan Sarawak dikembalikan.

Ketua publisiti kepada Pemuda DAP Petra Jaya, Abdul Aziz Isa bersetuju dengan Wong dan berkata tidak boleh dinafikan yang Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak setaraf dan berkata partinya sudah bercakap mengenainya menerusi Pengisytiharan Bintulu 2014.

Aziz berkata tanggungjawab itu terletak pada bahu BN untuk “memperbetulkan apa yang salah mengenai 1976” kerana ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak tidak membantah pindaan perlembagaan pada tahun itu.

Bagaimanapun, katanya Adenan kini sudah mula memperjuangkannya, dan semua ahli Parlimen Sarawak perlu menyokong beliau.

Ahli Majlis Tertinggi PBB Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pengasas Malaysia “sangat jelas” mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak.

Katanya, pindaan perlembagaan 1976 bertentangan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan itu apa yang Adenan mahu betulkan.

“Saya rasa Aziz Bari tidak faham apa desakan Adenan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.