
“Tiada siapa yang menjangka penghinaan seperti itu daripada pensyarah berpendidikan tinggi dari Universiti Malaysia Perlis,” kata Presiden PBDS, Cobbold John dalam satu kenyataan dikeluarkan Sarawak Times.
“Ia jelas menunjukkan pensyarah ini tidak tahu sejarah pembentukan Malaysia.”
Ketua menteri sedang berjuang bagi autonomi Sarawak berdasarkan sejarah, katanya.
Profesor Dr Ramlah Adam perlu memohon maaf, kata Cobbold.
“PBDS menyokong perjuangan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem untuk mengembalikan autonomi seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Cobbold berhujah MA63 adalah di luar politik.
“Ia mengenai penegasan hak kami sejak 1963 mengikut MA63,” katanya.
“Terdapat begitu banyak hakisan hak dan kuasa kami.”
“Kami berhak mendapatkan kembali apa yang menjadi hak kami.”
Ketua PBDS mengingatkan Ramlah yang MA63 adalah satu perkara sensitif di Sabah dan Sarawak.
Beliau turut memberi perhatian terhadap penghinaan Ramlah yang berkata orang-orang yang tidak berpuas hati dengan Malaysia harus meninggalkan negara ini.
“Sabah dan Sarawak adalah rakan kongsi yang taraf dengan Tanah Melayu di dalam Persekutuan,” tegas Cobbold.
“MA63 tidak boleh diubah walaupun Perkara 1 dalam Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 1976 oleh Parlimen Malaysia.”
Parlimen Malaysia katanya, tidak mempunyai hak melanggar perjanjian antarabangsa dan perjanjian (MA63) yang diserahkan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Kejahilan terhadap MA63 adalah punca kepada salah tafsir mengenai pembentukan Malaysia,” kata Cobbold.
Ramlah berkata demikian pada seminar bertajuk: “A Journey to Merdeka: Sarawak in Malaysia”.
Antara lain, Ramlah mengeluh yang orang Melayu di Tanah Melayu hilang maruah mereka apabila menukar nama negara daripada Persekutuan Tanah Melayu kepada Malaysia.