Bajet Alternatif: Pembangkang cadang potong belanjawan JPM 50%

Bajet Alternatif: Pembangkang cadang potong belanjawan JPM 50%

Gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 melalui sistem pembayaran bersama selama 3 tahun, di mana kerajaan dan majikan berkongsi kos bersama; kos tahunan kerajaan adalah RM2.5 bilion.

Wan-Azizah_bajet_600
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan hari ini menawarkan Belanjawan Alternatif 2017 yang mengurangkan kos operasi kerajaan, di samping menumpukan 11 perkara membabitkan pekerja asing, gaji minimum, rasuah, pengangkutan awam dan memajukan industri beras.

Belanjawan Pakatan yang diumumkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu menumpukan penjimatan perbelanjaan operasi tanpa perubahan untuk emolumen, namun dengan pemotongan perbelanjaan kepada kementerian, khususnya Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Ia mempersoalkan dasar kewangan kerajaan yang mengurangkan perbelanjaan sektor penting, seperti kesihatan dan pendidikan, tetapi pada masa sama mendakwa perbelanjaan “boros” Najib, khususnya untuk JPM.

Belanjawan itu mencadangkan pengurangan kos operasi JPM dengan menyasarkan hanya RM5 bilion perbelanjaan tahunan dalam beberapa tahun, ekoran peruntukan JPM yang bertambah 2 kali ganda setiap dekad daripada RM1.15 bil pada 1986, kepada RM2.39 bil pada 1996 dan RM5.839 bil pada 2006.

“Untuk tahun depan, kami mencadangkan pemotongan bajet sebanyak 50% untuk JPM, iaitu daripada RM20.31 bilion pada 2016 kepada RM10.31 bilion.

“Pengurangan secara beransur-ansur belanjawan Jabatan Perdana Menteri diperlukan untuk mengelakkan kejutan terlalu besar.

“Melangkah ke hadapan untuk beberapa tahun akan datang, kami akan terus mengurangkan belanjawan Jabatan Perdana Menteri kepada paras optimum RM5 bilion setahun,” kata Dr Wan Azizah kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Belanjawan Alternatif itu juga menyasarkan penjimatan 20% daripada peraturan lebih ketat melawan rasuah dan pembaziran.

“Dengan amalan pengurusan anti rasuah yang ketat tetapi agak murah, kami mengunjurkan keseluruhan penjimatan sebanyak 20%. Kami akan menyalurkan penjimatan ini ke arah pembangunan negara, terutamanya di negeri-negeri paling miskin,” katanya.

Ia merupakan belanjawan alternatif kedua Pakatan Harapan sejak ditubuhkan tahun lalu menggabungkan PKR, DAP dan Amanah, 2 hari sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat.

Belanjawan alternatif itu menjangkakan 2017 sebagai tempoh sukar, di mana kerajaan tidak boleh lagi membiayai projek besar.

Beliau berkata, pendapatan daripada harga minyak yang menjunam memberi kesan kepada ekonomi disebabkan kebergantungan negara terhadap bahan mentah itu.

Berikut ialah 11 cadangan dasar Pakatan Harapan untuk menangani isu-isu utama negara jika parti pembangkang diberi mandat untuk mentadbir negara.

1. Penubuhan Suruhanjaya Peluang Sama Rata untuk menghindari diskriminasi terhadap permohonan kerja dan pekerja berdasarkan bangsa, agama atau jantina; untuk sektor awam dan swasta.

2. Gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 melalui sistem pembayaran bersama selama 3 tahun, di mana kerajaan dan majikan berkongsi kos bersama; kos tahunan kerajaan adalah RM2.5 bilion.

3. Mengurangkan kebergantungan pekerja asing dengan kenaikan 10% levi setiap tahun sehingga 2020, pendaftaran pekerja asing tanpa izin (PATI), menambah baik hak pekerja asing, pengambilan pelarian sebagai pekerja dan insentif pelaburan modal serta penggunaan jentera.

4. Ketelusan dan akauntabiliti dalam laporan fiskal dengan pendedahan penuh aset-aset bukan kewangan kerajaan, liabiliti luar jangka dan perancangan mengurangkan tahap hutang.

5. Penggunaan sistem pengurusan anti rasuah seperti piawaian BS 10500 dan ISO 37001 dalam proses membuat keputusan kerajaan, termasuk kaedah sewajarnya dalam sistem perolehan, tiada dasar hadiah dan pendedahan maklumat efektif; kos kurang daripada RM20 juta yang berpotensi untuk menjimatkan berbilion ringgit.

6. Meneruskan kesaksamaan antara Malaysia Timur dan Semenanjung Malaysia, di mana Sabah dan Sarawak bakal menerima peruntukan lebih besar RM15 bilion daripada belanjawan pembangunan Kerajaan Persekutuan, menguruskan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sendiri dan pembaharuan undang-undang tanah untuk memberi Orang Asal status hak tanah adat serta bantuan kerajaan.

7. Menyemarakkan industri padi dan beras dengan menyemak semula peranan Bernas dalam mengimport dan menjual beras untuk keuntungan komersial, membeli beras daripada pengeluar domestik sebagai stok penimbal negara; menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Negara sebagai badan penyeliaan kebangsaan mengenai padi dan beras serta menambah baik pendapatan petani.

8. Menggunakan dana Peruntukan Perkhidmatan Sejagat untuk merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dengan luar bandar, seperti menyediakan liputan telekomunikasi lebih baik dan komuniti Internet serta pusat pembelajaran.

9. Menggalakkan pengangkutan awam bandar yang wajar dan boleh diakses dengan harga bersepadu bagi perkhidmatan rel dan bas, gaji lebih tinggi untuk pemandu bas, peruntukan laluan oleh pihak berkuasa tempatan, meningkatkan hasil bukan tambang dan pemisahan pemilikan aset serta operasi.

10. Perumahan awam ke arah pemilikan bukannya sewa, kawalan penuh kerajaan ke atas pembangunan dan penjualan berikutnya serta kejuruteraan sosial untuk integrasi etnik dan kelas.

11. Memperkukuh aspek penjagaan kesihatan awam dengan membasmi rasuah dan menangani penyakit berjangkit di kalangan PATI; menangani masalah penempatan doktor pelatih dan membebaskan pengaruh kerajaan dalam Majlis Perubatan Malaysia.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.