
Ditemui pemberita di Parlimen hari ini, Razaleigh berkata Perlembagaan yang dirangka sebelum 1957 itu perlu dikemaskini mengikut keperluan semasa, bagi membantu negeri yang miskin hasil seperti Kelantan dan Perlis.
Mengambil contoh alasan pembalakan merupakan hasil utama negeri, Razaleigh berkata Kerajaan Negeri tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya memandangkan hasil negeri yang terhad.
“Kita tidak fikir pembangunan berjalan dengan rancak seperti sekarang ini. Kerajaan negeri yang kecil seperti Perlis tidak mampu kerana hasil yang terhad.
“Perak pun susah kerana dulu bergantung pada bayaran royalti bijih timah, tetapi sekarang ini bijih timah sudah tidak ada,” jelas Razaleigh.
Wakil rakyat Kelantan itu tidak menyebut akta khusus yang perlu dipinda.
Sebelum ini, Kelantan ketika menjawab pengkritik berhubung dakwaan pencerobohan tanah adat Orang Asli oleh pembalak berlesen berkata kerajaan pimpinan PAS tidak banyak pilihan lain kerana pembalakan hasil utama negeri.
Kelantan dalam usaha menuntut royalti minyak dan gas daripada Kerajaan Persekutuan.
Isu pembalakan turut dibangkitkan ketika PAS memerintah Kedah.
“Sesetengah negeri bukan sahaja tidak ada kapasiti untuk menjalankan projek pembangunan, tetapi mereka juga tidak ada duit untuk selenggara pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan,” kata Razaleigh.
Menyentuh kesan tindakan pembalakan di Kelantan ke atas nasib Orang Asli dalam kawasannya, Razaleigh tidak nafi ia memperlihatkan kerajaan PAS tidak bersimpati dengan nasib golongan pribumi itu.
“Cuba pergi jumpa mereka (orang Asli), mereka nak minum air pun susah kerana air kotor, ikan dan udang semua mati.
“Kita cuba nak gali telaga supaya dapat air bersih di sebelah bukit bukau, tetapi dalam sampai 200 ke 300 kaki masih belum dapat mata air lagi,” katanya.