
Ini susulan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri di Dewan Rakyat hari ini yang berkata undang-undang berkaitan – di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 – hanya akan dibentangkan pada 2017.
“Ini akan membolehkan kerajaan laksana beberapa program dan reformasi memastikan keadaan yang lebih adil tentang pemberian permit teksi persendirian dan kawalan perkhidmatan e-hailing seluruh negara,” katanya hari ini.
Nancy menjawab soalan Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) sudahkah kerajaan mengenakan sebarang syarat yang perlu dipatuhi perkhidmatan perkongsian kenderaan.
Sekarang ini beberapa permit dipajakkan oleh syarikat teksi.
Nancy berkata buat masa ini Uber dan Grab akan beroperasi mengikut undang-undang yang sama digunapakai oleh industri teksi bagi memastikan keselamatan penumpang.
Dalam perkara berkaitan, Nancy memaklumkan Putrajaya akan memberikan geran RM5,000 kepada pemandu teksi yang layak membeli teksi baharu.
Beliau menambah undang-undang itu bertujuan menjaga kebajikan pemandu teksi.
Nancy menggesa pemandu teksi supaya mempelajari teknologi terkini supaya mereka tidak ketinggalan dan boleh menambahbaik perkhidmatan mereka seiring kehendak dan perkembangan pasaran.
“Kajian terkini kerajaan mendapati lebih 50% pengguna menggunakan aplikasi telefon pintar untuk mendapatkan perkhidmatan teksi, tetapi hanya 14% pemandu teksi mendapat pengguna melalui aplikasi telefon pintar.”
Nancy berkata perkhidmatan perkongsian kenderaan tidak sepatutnya dilihat sebagai pesaing kepada teksi konvensional tetapi sebagai peluang untuk mengimbangi permintaan dan perkembangan pasaran.
Takiyuddin dalam soalan tambahan menonjolkan bantahan pemandu teksi di luar Parlimen hari ini yang menggesa kerajaan supaya mendengar keluhan mereka berdepan persaingan perkhidmatan e-hailing.
“Kita tak boleh nafi pendapatan pemandu teksi terjejas teruk akibat perkhidmatan Uber dan GrabCar.
“Pemandu teksi perlu membayar RM55 sehari untuk sewa, sedangkan pemandu Uber dan GrabCar tidak perlu bayar sewa.
“Kerana perkhidmatan e-hailing, lebih 20,000 pemandu teksi memulangkan teksi masing-masing kepada syarikat kerana tidak mampu membayar sewa.”
Beliau berkata pemandu teksi sudah menyerahkan memorandum kepada menteri pengangkutan dan semua wakil rakyat.
Pada Ogos, Jemaah Menteri beri lampu hijau kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mengawal Uber dan Grab. SPAD sekarang sedang melihat pindaan yang diperlukan ke atas undang-undang sedia ada dan mungkin undang-undang baharu untuk membolehkan perkhidmatan perkongsian kenderaan dibenarkan di sisi undang-undang.
Kebangkitan Uber dan Grab mutakhir ini menyemai rasa tidak puas hati dalam kalangan pemandu teksi, yang membawa kepada tujuk perasaan dan serangan terhadap pemandu Uber dan Grab.
Dalam perkembangan lain, pemandu teksi dituduh mengenakan bayaran tinggi kepada pelanggan dan tidak mahu membawa pelanggan ke destinasi yang dikehendaki, menyebabkan rasa tidak puas hati dan mendorong pengguna memilih perkhidmatan e-hailing.
Sedia ada terdapat lebih 77,000 pemandu teksi berdaftar di seluruh negara.
Dalam tiga tahun mendatang, dijangka 150,000 teksi individu baharu, pemandu Uber dan Grab akan menyediakan perkhidmatan kepada orang awam, disamping penambahbaikan sistem Transit Aliran Ringan (LRT).