
Zuhairi Misrawi berkata, agamawan sering mengeluarkan fatwa saling bertentangan berhubung sesuatu isu atau perkara.
“Maka, apa yang penting adalah membuka wacana intelektual untuk membahaskan pandangan, bukan memaksa pandangan itu (kepada rakyat),” katanya ketika berucap pada “Simposium Keamanan: Hubungan Antara Kerajaan dan Agama” di Hotel Royale Bintang, pada Sabtu.
Beliau memberi contoh segelintir agamawan di Indonesia, termasuk Majlis Ulama Indonesia yang menyatakan umat Islam dilarang mengundi pemimpin “Yahudi dan Nasrani”.
Mereka merujuk penyandang Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang lebih popular dengan panggilan “Ahok” untuk mempertahankan jawatannya pada pilihan raya umum daerah (Pilkada), Februari depan.
Penganut Kristian itu bersama timbalannya, Djarot Saiful Hidayat akan bertembung pasangan Anies Baswedan-Sandiaga Uno dan Agus Harimurti Yudhoyono-Sylviana Murni.
Namun, graduan jurusan falsafah Universiti Al-Azhar Mesir itu berkata, pandangan itu tidak semestinya dipatuhi, sebaliknya rakyat perlu membuat keputusan berdasarkan rekod perkhidmatan Ahok yang banyak melakukan pembaharuan di ibu kota Indonesia itu.
“Apa yang berlaku adalah kami mengkritik ulama yang berpandangan begitu. Mereka ada pandangan sendiri, tetapi ulama lain seperti saya juga ada pandangan lain,” katanya.
Pada 13 Oktober lalu, ribuan penduduk Jakarta menyertai demonstrasi dipimpin kumpulan radikal Islam, Barisan Pembela Islam (FPI) bagi menyuarakan bantahan terhadap Ahok.
Peguam hak asasi, Firdaus Husni pula mengkritik sikap sesetengah golongan di Malaysia yang “tidak berani” membicarakan perkara berkaitan agama, sebaliknya menyerahkan kepada agamawan.
“Seolah-olah sudah menjadi peraturan, anda tidak boleh bersuara jika tidak diiktiraf dalam masyarakat sebagai orang yang mempunyai pengetahuan dalam agama.
“Tidak seharusnya begitu. Namun, bertahun-tahun propaganda politik nampaknya menjadikan kita – masyarakat yang hanya menerima sahaja tanpa soal. Sebab itu status quo kekal,” katanya.
Bulan lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dilaporkan berkata, Kabinet mengarahkan kementeriannya berbincang dengan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mencapai konsensus dalam isu pengguguran janin untuk ibu dijangkiti virus Zika.
Beliau berkata, sebaik sahaja konsensus kebangsaan dicapai, komponen saintifik dan kalangan pakar perubatan akan duduk berbincang dan mengeluarkan nasihat berdasarkan perbincangan itu.
Bagaimanapun, Bendahari Persatuan Peguam Wanita, Daniella Zulkifili berkata, keputusan sama ada ibu mengandung dijangkiti virus Zika dibenarkan menggugurkan kandungan perlu dibuat atas dasar perubatan, bukannya agama.
Katanya, hanya doktor boleh menentukan risiko jangkitan virus Zika dalam kehamilan seorang wanita dan langkah Kementerian Kesihatan itu disifatkan satu bentuk pelepasan tanggungjawab dan contoh tidak baik.
Pautan:
Zika: Kementerian Kesihatan, Majlis Fatwa akan bincang izin gugur kandungan
Gugur kandungan akibat Zika: Pandangan majlis fatwa tidak relevan