
Ketua Biro Agama Pemuda PKR itu berkata, tindakan mengajar cara menyembelih haiwan bukanlah ibadah wajib untuk dilakukan setiap umat Islam sebaliknya ia adalah fardu kifayah yang hanya wajib untuk sebahagian anggota masyarakat
“Saya kira, sebarang tindakan yang boleh membawa trauma kepada anak-anak yang masih kecil wajar dielakkan.
“Lebih-lebih lagi dalam perkara yang bukan fardu ain, seperti cara sembelihan kerana menyembelih binatang ini hanya boleh dilakukan oleh sebilangan pihak sahaja,” katanya kepada FMT.
Latihan penyembelihan “korban” itu melibatkan 70 ekor burung puyuh dan ia ternyata mengejutkan sesetengah ibu bapa yang mempersoalkan keperluan melibatkan kanak-kanak dalam acara seumpama itu.
Tinjauan FMT mengesahkan program itu dijalankan semalam dan merupakan sebahagian sukatan pelajaran Pendidikan Islam bagi mendedahkan kepada pelajar “cara betul menyembelih haiwan”.
FMT juga difahamkan program tahunan itu yang mendapat restu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), dijalankan di kawasan sekolah semasa sesi pembelajaran dan diselia seorang guru Pendidikan Islam yang membimbing pelajar semasa menyembelih.
Wan Ji yang juga graduan Universiti Al-Azhar jurusan Syariah Islamiyyah turut mengakui walaupun mempunyai pendidikan agama namun tidak pernah melakukan sembelihan.
“Saya sendiri, walaupun mempunyai pendidikan agama sejak kecil, tidak pernah melakukan sembelihan. Tetapi amalan sembelihan tetap berlaku,” katanya.
Sementara itu, peguam Azhar Harun turut menyelar tindakan pihak sekolah yang mendidik pelajarnya membuat latihan penyembelihan “korban”.
“Saya tidak rasa ia terkandung dalam kurikulum kebangsaan. Sepatutnya ajar pelajar mengenai konsep korban, apa maknanya dan bukannya ritual penyembelihan. Korban boleh dilakukan dalam banyak bentuk dan cara.
“Jika ada pelajar yang mengorbankan waktu terluangnya untuk menuntut ilmu, ia juga salah satu bentuk korban. Bukannya mengambil pisau dan menyembelih burung puyuh,” katanya.
Jelas Azhar, anaknya sendiri pernah berhadapan dengan ustaz yang melampau. Ia berlaku apabila anaknya dipertontonkan situasi dan keadaan di dalam neraka.
“Ustaz tersebut menunjukkan anak saya video rupa sebenar neraka di dalam Youtube. Masalahnya ia bukan rupa sebenar neraka, sebaliknya ia adalah neraka versi penganut agama Buddha.
“Terlalu banyak darah hinggakan anak saya tidak boleh tidur untuk beberapa hari. Lebih baik ustaz itu menjelaskan makna di sebalik korban bukannya memfokuskan tindakan itu,” katanya.
Selain latihan “sembelih”, murid-murid tahun 6 juga dikehendaki menghadiri kursus mandi wajib, iaitu amalan wajib dalam Islam selepas seseorang keluar air mani atau melakukan hubungan seks.
Ibu bapa yang berhubung dengan FMT melahirkan rasa terkejut dengan program itu. Salah seorang daripada mereka berkata anaknya trauma selepas melihat burung disembelih.
FMT mendapati sebuah lagi sekolah di kawasan berhampiran melakukan perkara sama tahun lepas melibatkan burung puyuh dan ayam.
Pautan:
Ibu bapa, pelajar terkejut latihan ‘sembelih korban’ di sekolah