Penerbit nafi promosi komunisme

Penerbit nafi promosi komunisme

Syarikat penerbitan Malaysia, Thukul Cetak disoal siasat polis Indonesia kerana mempamerkan terjemahan “The Communist Manifesto” tulisan Karl Marx.

thukul-cetak-1
PETALING JAYA: Syarikat penerbitan indie Melayu, Thukul Cetak yang bukunya disiasat kerana mempamerkan salinan Manifesto Komunis di Jakarta baru-baru ini, menafikan ada mempromosikan konsep komunisme menerusi buku atau falsafahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Thukul Cetak Zul Fikri Zamir atau lebih dikenali sebagai ZF Zamir berkata buku mereka tidak dirampas seperti dilaporkan media.

“Buku berkenaan hanya untuk pameran. Buku kami tidak dirampas. Tidak ada sesiapa ditahan atau disiasat. Kami disoal siasat dari 1.30 petang hingga 8.45 malam (2 Oktober) di unit luar jabatan polis dan kami beri kerjasama penuh,” katanya kepada FMT.

Menerusi laporan sebelum ini, 4 lelaki rakyat Malaysia disiasat kerana melanggar undang-undang Indonesia dan menjual salinan edisi terjemahan “The Communist Manifesto” tulisan Karl Marx dan Friedrich Engels di Pesta Buku Antarabangsa Indonesia di Pusat Konvensyen Jakarta.

Mereka yang ditahan ialah Zulfikri sendiri sebagai penerbit Thukul Cetak; Sakri bin Abdullah, 51, penyelia pameran di pesta buku itu; serta 2 pembantu M Rozla Muhammed Noor, 46; dan Khairul Nizam Muhammad Yunis, 45.

Mereka dibawa ke ibu pejabat polis Jakarta untuk disoal siasat tetapi tidak dikenakan sebarang pendakwaan oleh pihak berkuasa.

Zul Fikri berkata kerajaan Indonesia menyiasat mereka kerana logo tukul dan sabit diletakkan atas buku yang dipamerkan dan beberapa helaian pertama buku terjemahan itu termasuk pandangan kritikal mengenai buku itu yang membangkitkan soalan mengenai Marx dan falsafahnya.

Katanya, buku itu juga dipegang oleh Menteri Pendidikan Indonesia Muhadjir Effendy ketika pelancarannya di Pavilion Malaysia baru-baru ini.

“Adakah itu bermakna tetamu kehormat tidak sedar atau tidak memahami simbol itu,” katanya.

Thukul Cetak ditubuhkan pada awal 2015 dan bertindak sebagai arena alternatif kepada dunia penerbitan tempatan.

“Kami bukan penerbit sosialis. Kami terbit buku yang percaya kepada pandangan sosial dan politik,” katanya.

Thukul Cetak mencetuskan kontroversi menerusi penerbitan pertamanya, Agong Tanpa Tengkolok tulisan Fathi Aris Omar, dengan kulit muka depan menggambarkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan lakaran tengkolok Agong.

Isi kandungan buku itu ialah mengenai kesan kuasa politik terhadap agama, budaya, bahasa dan pemikiran kritikal.

Buku itu terjual 1,000 salinan dalam bulan pertama ia dilancarkan dan sejak itu sudah diulang cetak beberapa edisi.

Buku lain diterbitkan ialah Utopia Masyarakat Lambak karya Azhar Ibrahim, Cerpen-cerpen Underground (Faisal Tehrani); Berlari dari Jogja (Zul). Beberapa yang lain ialah mengenai falsafah Plato, Kafka, Camus, Derrida, Sartre dan Che Guevara.

Malaysia masih mengharamkan komunisme dan belum boleh melupakan konflik berdarat dengan komunis tempatan. Di Indonesia, sesiapa yang mempromosikan dan menganjurkan komunisme boleh dipenjarakan sehingga 7 tahun.

Pautan

4 rakyat Malaysia ditahan, pamer buku komunisme di Jakarta

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.