Malaysia sekadar seri 1-1 dengan Afghanistan

Malaysia sekadar seri 1-1 dengan Afghanistan

Satu lagi tamparan kepada pasukan negara walaupun selepas rombakan besar-besaran.

Afghanistan
SHAH ALAM: Pasukan bola sepak kebangsaan gagal mencatatkan kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut apabila sekadar seri 1-1 menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam semalam.

Jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee, yang melakukan rombakan besar-besaran selepas mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan ke atas Singapura di Stadium Nasional Singapura Jumaat lepas bagi memberi peluang kepada pemain baharu, masih mencari formula kemenangan.

Kali terakhir Skuad Harimau Malaysia mencatatkan kemenangan ialah pada 22 Jun apabila menewaskan New Caledonia 2-1 ketika Jelajah Ocenia, yang kemudiannya tidak diiktiraf oleh FIFA kerana kesilapan teknikal di pihak penganjur.

Dalam aksi semalam, pasukan pelawat membuka jaringan pada minit ke-21 apabila sepakan melencong Noarollah Amiri dari sudut kiri luar kotak penalti gagal diselamatkan oleh penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Tersentap dengan jaringan itu, skuad Harimau Malaysia mula mempamerkan corak permainan menyerang dan cubaan pertama skuad kebangsaan hanya hadir pada minit ke-33 apabila bola tandukan pemain pertahanan, Shahrul Mohd Saad tersasar di atas palang gol.

Harimau Malaysia bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian, Muhd Hadin Azman yang menanduk masuk bola hantaran Matthew Thomas Davies pada masa tambahan babak pertama.

Kelekaan tonggak pertahanan negara untuk mengawal pemain pertahanan Afghanistan, Abassin Alikhil yang melakukan serangan balas pantas pada minit ke-70 hampir membawah padah tetapi berjaya dikawal balik oleh barisan pertahanah negara.

Malaysia, yang menduduki ranking dunia ke-153, mendapat peluang untuk menjaringkan gol kemenangan namun cubaan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang pasukan pelawat, Ovays Azizi pada minit ke-79.

Dalam 3 aksi terakhir, Malaysia seri tanpa jaringan dengan Singapura (7 Oktober), tewas 3-0 di tangan Indonesia (6 September) dan seri 1-1 dengan Fiji (26 Jun), manakala Afghanistan pula tewas 0-2 kepada Lebanon (5 September), menang 2-1 kepada Singapura (29 Mac) dibelasah 5-0 oleh Jepun (24 Mac).

Untuk rekod, Malaysia hanya mencatatkan 3 kemenangan daripada 11 perlawanan sepanjang tahun ini, iaitu dua kemenangan 3-0 ke atas Timor Leste dalam aksi playoff kelayakan Piala Asia 2019 pada Jun lalu dan kemenangan ke atas New Caledonia.

Skuad kebangsaan seterusnya dijangka berhadapan dengan satu lagi perlawanan persahabatan menentang Papua New Guinea pada 14 November di Malaysia, sebelum Kim Swee memuktamadkan senarai 23 pemain untuk Piala AFF yang akan bermula 19 November hingga 17 Disember ini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.