Malaysia Airlines kini rakan global Liverpool

Malaysia Airlines kini rakan global Liverpool

Gergasi bola sepak Inggeris itu mengumumkan pemeteraian perjanjian tiga tahun dengan Malaysia Airlines.

liverpool_mas_600
PETALING JAYA:
Tempoh perpindahan pemain sudah tertutup tetapi Kelab Bola Sepak Liverpool (LFC) berjaya meterai perjanjian terpenting di mata penyokong kelab di Malaysia.

Kelab Liga Premier Inggeris (EPL) itu hari ini mengumumkan pemeteraian perjanjian tiga tahun dengan Malaysia Airlines sebagai rakan penerbangan global rasmi.

“Liverpool dan Malaysia berkongsi keghairahan untuk sukan bola sepak – sambutan yang ditunjukkan semasa kami berkunjung ke Malaysia untuk jelajah pra-musim pada 2011 dan 2015 sukar dipercayai.

“Usahasama ini mencerminkan jalinan ini dan kami mengharapkan masa depan yang cerah bersama Malaysia Airlines,” kata Ketua Pegawai Perdagangan LFC Billy Hogan dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan di laman LFC.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS Peter Bellew berkata LFC akan mengukuhkan jenama syarikat penerbangan itu di UK.

“Dengan sukacita kami mengalu-alukan Liverpool FC menyertai keluarga Malaysia Airlines.

“Dua jenama ini mempunyai sejarah yang panjang dan gemilang serta berkongsi budaya yang bertunjangkan kekeluargaan. Liverpool FC salah satu daripada kelab dengan jumlah pengikut yang besar, termasuk 100 juta pengikut di Asia Tenggara dan 40 juta di China, dua pasaran utama kita,” kata Bellew.

Ini bukan kali pertama Malaysia Airlines terbabit dalam penajaan atau endorsemen kelab EPL.

Pada 2011, kelab Queens Park Rangers meterai perjanjian tajaan bersama kemeja dua tahun bernilai jutaan dollar dengan MAS dan AirAsia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.