Mangsa rempuhan tonto dinaikkan pangkat

Mangsa rempuhan tonto dinaikkan pangkat

Cadangan Cuepacs menaikkan gred perkhidmatan mangsa rempuhan tonto diterima baik kerajaan.

ali-hamsa
PUTRAJAYA: “Kita sudah uruskan kenaikan gred arwah dari 22 ke 26 sekali gus akan mendapat ganjaran sewajarnya,” kata Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Ketua setiausaha negara itu memberitahu kerajaan menyambut baik cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang membela nasib seorang bekas pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Anisah Ali, minggu lalu.

Dalam insiden jam 1.20 pagi di Rantau Panjang pada Jumaat lalu, Anisah dirempuh tonto dari arah belakang sebanyak 2 kali sebelum kenderaan mereka terbabas sehingga melanggar pokok.

Presiden Cuepacs Azih Muda memberitahu kerajaan wajar menaikkan gred 22 ke gred 26 berdasarkan khidmat bakti dan dedikasi mangsa yang berkhidmat selama 30 tahun dalam JKDM.

Dalam masa sama, Ali Hamsa menegaskan cadangan waktu kerja 6 jam yang dicadangkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak akan dilaksanakan.

“Kita sudah menjalankan kajian. Cadangan ini tidak dapat dilaksanakan malah kita akan bagi tekanan untuk meningkatkan produktiviti. Waktu bekerja akan kekal 8 jam,” katanya.

Cadangan ini turut dibantah Cuepacs kerana berpendapat pihak yang bersetuju dengan cadangan itu terdiri daripada mereka yang malas dan tiada siapa bekerja 8 jam secara berterusan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.