
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Kelantan itu berkata industri pelancongan di negeri itu semakin merosot dan paling ketara dapat dilihat menerusi penjualan bilik hotel pelbagai bintang yang agak teruk dan perniagaan membabitkan pelancongan turut merudum.
Katanya, kerajaan negeri juga tidak berusaha menaik taraf prasarana pelancongan dan kini Kelantan hanya menjadi tempat transit bagi pelancong yang hendak ke Pulau Perhentian dan Thailand.
“Kerajaan negeri perlu buat kajian, ambil pakar merangka model pelancongan negeri, tidak perlu tunggu hasil minyak.
“Itu hanya impian dan memberi harapan sedangkan rakyat tidak bodoh untuk telan alasan itu dan ia tidak akan berhasil kerana ia alasan naif politik,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan FMT mengenai jumlah pelancong ke Kelantan semakin berkurangan, tidak seperti 20 atau 30 tahun lalu di mana pelancong asing dilihat berkeliaran di negeri itu. Keadaan sama turut diakui pengusaha industri pelancongan di Kelantan.
Hanafi yang juga bekas Adun Pengkalan Pasir berkata kerajaan negeri tidak boleh terus menerus menjadikan alasan tuntutan hasil royalti daripada kerajaan pusat untuk membangunkan negeri.
Sementara itu, Exco Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan Datuk Mohd Anizam Abdul Rahman berkata beliau tidak menolak dakwaan industri pelancongan di negeri itu semakin tenggelam dengan kekurangan pelancong asing yang datang.
Katanya, kerajaan negeri dalam perancangan memajukan aktiviti pelancongan di Kelantan.
“Kita sedang berusaha untuk memajukan sektor pelancongan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Tourism Malaysia,Tourism Kelantan dan pakar pelancongan serta kerjasama NGO,” katanya kepada FMT.
Pautan: