Suspek bom pub Movida tukar pengakuan, mahu dibicarakan

Suspek bom pub Movida tukar pengakuan, mahu dibicarakan

bahasa, IS, imam wahyudin karjono, jonius ondie @ jahali, movida, bom tangan

Movida
PETALING JAYA:
Dua lelaki yang didakwa kerana mengebom sebuah pub dan restoran di Puchong menarik balik pengakuan bersalah dan minta dibicarakan.

Imam Wahyudin Karjono, 21, dan Jonius Ondie @ Jahali, 24, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini.

Mahkamah dijadualkan untuk mensabitkan kedua mereka hari ini selepas kes ditangguhkan pada 21 September.

Imam tidak ditampilkan ke hadapan hakim atas sebab yang tidak dinyatakan.

Hakim Azwarnida Affandi kemudiannya menetapkan sebutan kes pada 14 November nanti.

Pada 25 Julai, Jonius, yang berasal dari Sabah, dan Imam, dari Puchong, Selangor, mengaku bersalah untuk 8 pertuduhan, termasuk meletupkan bom tangan di pub dan restoran Movida, IOI Boulevard pada jam 2 pagi, 28 Jun, yang mengakibatkan 8 orang cedera.

Lapan pertuduhan itu di bawah Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara 30 tahun jika didapati bersalah.

Imam dan Jonius turut mengaku bersalah untuk pertuduhan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, kerana menggunakan bom tangan dan berdepan sekurang-kurangnya 6 sebatan rotan dan 14 tahun penjara.

Di mahkamah berlainan, mereka didakwa atas 2 tuduhan pengganas mengikut Kanun Keseksaan. Tiada rayuan dicatatkan untuk 2 pertuduhan itu dan mereka akan dibicarakan. Pensabitan membawa hukuman penjara seumur hidup.

Imam diwakili Fareida Mohd dan Wong Kar Fai manakala Jonius diwakili Aaron Mark Pius dan Joan Sia.

Serangan bom tangan di Movida itu disahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai serangan pertama IS yang berjaya di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.