
Baljit Singh membuat cadangan itu pada Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan ke-45 dan berkata cara DAP meletakkan Dyana Sofya Mohd Daud menentang Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong di kerusi Teluk Intan memberikan kesan yang kuat.
“Kita perlu mengukuhkan parti. Di kerusi yang sudah pasti 100% kalah, kenapa letak lelaki Cina 70 tahun. Mengapa tidak letak wanita yang muda, manis, bertenaga, seksi yang sanggup berusaha melakukan sehabis baik untuk parti,” katanya dipetik daripada akhbar The Sun.
“Mungkin dia kalah, dia akan kalah, tetapi ia mencipta kesan yang besar.
“Bercakap jujur mengenai Teluk Intan. Ya, memang presiden menang, tetapi lihat apa yang pembangkang buat. Mereka letak perempuan Melayu yang muda di sana. Saya lihat dia sebagai seorang perempuan Melayu yang muda, saya tak nampak benda lain,” katanya.
Balijit mendesak sayap Pemuda meletakkan lebih banyak “orang muda” dalam PRU akan datang, untuk mewujudkan kesan besar.
Pada masa ini Gerakan hanya ada 2 kerusi Parlimen iaitu di Teluk Intan (Mah) dan Simpang Renggam (Liang Teck Meng).
Parti itu hari ini menamakan 5 calon berpotensi untuk bertanding di Selangor pada PRU.
Mereka ialah Pengerusi Gerakan Selangor David Ang Chin Tat (Parlimen Puchong); naib presiden A. Kohilan Pillay (DUN Kota Alam Shah); timbalan speaker Syed Abdul Razak Syed Long (Bukit Lanjan); setiausaha Pemuda Ben Liew Pok Boon (Teratai); ketua Biro Perundangan dan Hak Asasi Manusia Pemuda Chai Ko Thing (Bukit Gasing).