
Anuar Abdul Manap berkata, risiko yang terpaksa dihadapi Umno selepas memecat Muhyiddin termasuk tindakan melompat parti seperti dilakukan Adun Jorak, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Kepimpinan Umno sedar risiko penyingkiran Tan Sri Muhyiddin dulu akan ada akibat lain yang akan berlaku seperti kejadian ini (kehilangan wakil rakyat). Justeru, ianya haruslah dijadikan iktibar dan semua jentera serta pimpinan parti dari semua peringkat harus diperkukuhkan lagi,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, exco Pemuda Umno itu yakin tidak akan ada lagi pemimpin atau wakil rakyat Umno Johor yang akan mengikut jejak Shahruddin, kerana kebanyakan mereka masih setia dan yakin hanya parti itu mampu membela nasib rakyat.
“Setakat ini hanya 1 kerusi yang sudah dijangka sebelum ini akan terlibat (menyertai PPBM) kerana kedudukannya (adun Jorak) di bawah Parlimen Pagoh dan juga beliau antara pemimpin dalam Parlimen Pagoh yang turut bersama Muhyiddin meletak jawatan dan keluar daripada Umno.
“Umno juga perlu bersiap sedia dan mendapat maklumat tepat bagi menangkis segala bentuk tohmahan pembangkang (termasuk parti baharu PPBM). Saya juga yakin ahli dan pemimpin Umno masih setia memilih Umno hari ini kerana mereka melihat tiada parti lain boleh menggantikan apa dilakukan Umno Johor,” katanya.
Sementara itu, exco Johor, Datuk Ayub Rahmat menghormati penubuhan PPBM, namun rakyat juga berhak menilai parti mana layak menjadi kerajaan.
“Pembangkang akan tanpa henti bercakap tentang isu-isu yang dicipta. Hakikatnya, khidmat bakti seikhlasnya yang kita harap dan rakyat akan nilai (parti mana layak memerintah Johor),” kata adun Kemelah itu ketika dihubungi.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, BN Johor tidak sesekali tergugat dengan pelantikan Shahruddin sebagai setiausaha agung PPBM.
Malah, katanya, dunia tidak akan kiamat dengan penyertaan adun Jorak dalam PPBM kerana ia tidak menjejaskan sokongan majoriti adun Johor kepada kerajaan negeri.
Pautan: