Kami tak takut ditahan tentera Israel, kata Dr Fauziah

Kami tak takut ditahan tentera Israel, kata Dr Fauziah

Wakil tunggal dari Malaysia yang menyertai Women’s Boat To Gaza itu berkata semua ahli tenang kerana sudah diberi taklimat dan latihan sebelum ini jika berdepan keadaan ditahan tentera Israel.

fauziah
SEPANG : Dr Fauziah Mohd Hassan berkata beliau dan 12 lagi wanita sukarelawan dalam kapal Zaytona-Oliva tidak takut ketika ditahan hampir 22 jam oleh tentera laut Israel ketika dalam perjalanan menghantar bantuan kepada rakyat Palestin di Gaza, Rabu lalu.

Ahli misi Women’s Boat To Gaza (WBG) itu berkata mereka tidak gentar kerana sebelum ini sudah diberi taklimat dan latihan apa yang perlu dilakukan jika berdepan keadaan ditahan tentera Israel.

“Kita menjangkakan ia berlaku. Jadi apabila berlaku, kita tidak panik, semua orang tenang, bernafas dengan baik dan bersedia dengan apa-apa kemungkinan,” katanya kepada pemberita di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini.

Beliau selamat pulang ke tanah air kira-kira jam 7.50 petang tadi dan disambut lebih 200 orang yang kebanyakannya terdiri daripada ahli NGO dan wakil media.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang Rabu lalu, tentera Israel menahan kapal berkenaan bersama 3 kru dan 10 aktivis wanita, termasuk Dr Fauziah.

Kapal itu yang dalam perjalanan menuju ke Gaza untuk menghantar bantuan kemanusiaan dikepung sebelum ditahan dan ditunda ke Pelabuhan Ashdod.

Selain Dr Fauziah, sukarelawan wanita lain di atas kapal itu ialah Madelaine Anne Habib dari Australia, Synne Sofie Reksten (Norway), Emma Charlota Ringqvist (Sweden), Laureate Mairead MacGuire (Ireland), Marama Davidson (New Zealand), Jeannette Escanilla (Sweden), Mary Ann Wright (USA), Samira Douaifia (Algeria), Leign Ann Naidoo (Afrika Selatan), Sandra Barrilaro (Sepanyol), Mina Harballou (England) dan Hoda Rakhme (Rusia).

Dr Fauziah yang juga bekas bendahari dan sukarelawan Mercy berkata walaupun gagal tiba ke Gaza, misi mereka berjaya.

“Saya rasa misi ini membuka mata ramai manusia di seluruh dunia untuk memastikan isu kepungan yang dikenakan terhadap Gaza diuarkan seluas-luasnya,” katanya.

Beliau berkata penduduk Gaza merasakan mereka di bawah keprihatinan masyarakat dunia dan ia turut memberi harapan yang satu hari nanti bumi Gaza akan bebas dari Israel.

Mengulas perancangannya selepas ini, katanya beliau akan meneruskan usaha kemanusiaan yang dibawanya itu.

 

Pautan

Dr Fauziah, 10 anak kapal misi Gaza dibebaskan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.