Budgy Smuggler tidak akan hasilkan seluar dalam Jalur Gemilang

Budgy Smuggler tidak akan hasilkan seluar dalam Jalur Gemilang

Allen berkata, syarikat itu tidak berniat menghina Malaysia dan jualan syarikat itu melonjak sejak insiden 9 lelaki Australia menayang seluar dalam Jalur Gemilang di Sepang, minggu lalu.

Budgy-Smuggler
PETALING JAYA: Syarikat pengeluar pakaian renang, Budgy Smuggler berjanji tidak akan menghasilkan seluar dalam bercorak Jalur Gemilang lagi, selepas insiden 9 lelaki Australia di Sepang, Ahad lalu.

Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Budgy Smuggler, Jarrod Allen memberitahu Business Insider, syarikat itu tidak pernah berniat menghina Malaysia dengan penjualan seluar renang Jalur Gemilang.

“Kami menerima lebih sedozen tempahan dari Malaysia, tetapi disebabkan sensitiviti politik, kami tidak akan menghasilkan (seluar dalam Jalur Gemilang) lagi. Kami tidak pernah berniat untuk tidak menghormati (Malaysia).”

Allen berkata, jualan Budgy Smuggler melonjak sejak insiden 9 lelaki Australia menayang seluar dalam bercorak Jalur Gemilang selepas perlumbaan Formula Satu (F1) di Sepang, Ahad lalu.

Beliau berkata, syarikat berpangkalan di Sydney yang dikendalikan sekumpulan pemuda berusia 20-an itu menerima banyak tempahan dari Filipina, Maghribi dan Malaysia untuk seluar bercorak bendera ditempah khas, namun mereka tidak dapat memenuhi pesanan mendadak pelanggan dari seluruh dunia.

Beliau merujuk kes 9 lelaki Australia yang ditahan dan mengaku bersalah terhadap pertuduhan menyebabkan gangguan awam, apabila mereka menanggalkan pakaian bagi meraikan kemenangan pelumba senegara, Daniel Ricciardo, pada perlumbaan F1 di Sepang, Ahad lalu.

Mereka bagaimanapun dilepaskan dengan amaran oleh Mahkamah Sesyen di Sepang, semalam.

Menurut Business Insider, Budgy Smuggler sudah mencipta nama di peringkat antarabangsa sebelum insiden F1, menerusi aksi publisiti di mana pelanggan secara sukarela menayang seluar renang mereka di khalayak ramai dan memuat naik gambar mereka ke media sosial.

Semua gambar itu kemudiannya akan dibuka untuk undian orang ramai setiap bulan dan pemenang akan menerima baucar AU$100.

“Kami sudah menjual produk kami di kira-kira 50 negara di seluruh dunia dan ini pertama kali ia mencetuskan insiden antarabangsa,” kata Allen merujuk kepada penahanan 9 lelaki di Malaysia.

“Saya yakin 4 hari dalam penjara akan dapat mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya sambil menambah syarikat itu “terhutang budi” dengan 9 lelaki yang menjadikan Budgy Smuggler tajuk perbualan hangat di Malaysia dan dunia secara amnya.

Pautan:

Mahkamah tidak silap tegur warga Australia pakai seluar dalam Jalur Gemilang

Seluar dalam Jalur Gemilang dijual online

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.