
Hakim Harith Sham Mohamed Yasin mengguna pakai Seksyen 173A Kanun Acara Jenayah untuk tidak mengenakan sebarang hukuman dan sebaliknya membebaskan semua tertuduh dengan amaran.
Peguam Tan Sri Shafee Abdullah dalam hujahnya berkata mahkamah sepatutnya mengguna pakai peruntukan itu kerana asas kesalahan itu “remeh” dan anak guamnya menunjukkan “kekesalan” atas tindakan mereka.
Sebelum itu Jurucakap kepada semua 9 tertuduh itu membuat permohonan maaf di mahkamah, selepas mereka mengaku bersalah atas tuduhan itu dan mengakui “silap menilai” tindakan mereka ketika menjadi penonton di Grand Prix Formula Satu di Sepang, minggu lalu.
“Kami memohon maaf dengan seikhlasnya atas tindakan kami, yang menyinggung sentimen rakyat di negara indah ini.
“Tidak terlintas sedikit pun niat kami untuk merendahkan negara ini dan sensitivitinya,” kata jurucakap itu.
Semua 9 tertuduh berkata mereka tidak tahu sensitiviti di negara ini dan menanggalkan pakaian dengan hanya seluar dalam mandi boleh dianggap sebagai perbuatan menyinggung.
Terdahulu, semua tertuduh mengaku bersalah kerana berkelakuan tidak senonoh apabila memakai seluar dalam dengan corak Jalur Gemilang pada perlumbaan itu.
Semua tertuduh berumur antara 25 hingga 29 tahun, mengaku bersalah menyebabkan kacau ganggu awam apabila menanggalkan pakaian ketika meraikan kemenangan pelumba Australia, Daniel Ricciardo dalam perlumbaan itu.
Semua tertuduh ialah ialah Branden Stobbs, 29; Edward Leaney, 25; Nicolas Kelly, 27; Thomas Laslett, 28; Thomas Whitworth, 28; James Paver, 27; Adam Pasfield, 25; Timonthy Yates, 29; dan seorang anak diplomat Jack Walker, 26; yang juga staf di pejabat Menteri Industri Pertahanan Australia, Christopher Pyne.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun keseksaan kerana menyebabkan kacau ganggu yang membawa hukuman denda tidak melebih RM400.
Pautan:
Penonton F1 Sepang pakai seluar dalam bendera kebangsaan ditangkap