Setakat ini kami hanya dengan parti Kadir, kata PAS

Setakat ini kami hanya dengan parti Kadir, kata PAS

Kenyataan itu susulan usaha Muhyiddin mendekati PAS agar menjalinkan kerjasama melawan BN pada PRU akan datang.

tuan-ibrahim-pas
PETALING JAYA:
PAS menegaskan parti itu tidak menjalinkan apa-apa kerjasama dengan mana-mana parti lain kecuali Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) yang dipimpin oleh Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, di bawah apa yang dinamakan Gagasan Sejahtera.

“Oleh itu, PAS akan mengutamakan Gagasan Sejahtera berbanding gabungan dengan parti-parti lain,” kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Kenyataan itu susulan usaha PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berunding dengan parti Islam itu agar bekerjasama pada pilihan raya umum akan datang dengan Pakatan Harapan memastikan pertandingan satu-lawan-satu menentang Barisan Nasional (BN).

Baru-baru ini, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau sudah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ke arah itu.

Tuan Ibrahim berkata ura-ura kerjasama PAS dengan parti lain tidak benar sehingga ada kenyataan rasmi..

Beliau bagaimanapun berkata pintu PAS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pihak lain selagi selari matlamat dengan Gagasan Sejahtera, tetapi “bukan jenis mengambil kesempatan semata-mata”.

Sebelum ini, Muhyiddin mencadangkan PAS memberi laluan kepada PPBM untuk bertanding di kawasan yang dimenangi BN.

Cadangan itu bagaimanapun disambut dingin PAS, dengan salah seorang bekas calonnya mempersoalkan PPBM yang membuat tuntutan itu walaupun tiada jentera dan ahli.

Mengulas perkata itu, Tuan Ibrahim berkata PAS akan mempertahankan kerusi tersebut.

“Setakat ini, PAS akan pertahankan kerusi yang menjadi tradisi parti, yang kebanyakannya bertembung dengan Umno, dengan segala kemampuan yang ada,” katanya.

Pautan berita :

Jemput Muhyiddin bukan petanda PAS, PPBM akan bergabung, kata Amar

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.