
“Hakim bertindak mengikut undang-undang dalam menegur mereka tetapi tidak menghentikan pihak pendakwaan membuat rayuan terhadap hukuman,” kata Salim Bashir.
Beliau berkata Hakim Harith Sham Mohamed Yasin ternyata tidak terpengaruh dengan emosi masyarakat awam dengan membuat keputusan berdasarkan penyerahan bukti kepadanya.
Peguam itu berkata demikian sebagai mengulas tindakan Harith berdasarkan Seksyen 173A Kanun Tatacara iaitu tidak mengenakan denda kepada tertuduh, sebaliknya melepaskan mereka dengan amaran.
Memandangkan peruntukan itu digunakan, dakwaan juga tidak disabitkan terhadap kesemua warga Australia itu.
Hakim membebaskan atas alasan mereka ‘muda, kesal, jahil’.
Mereka, melalui seorang jurucakap, juga memohon maaf di mahkamah dan berkata “tidak mempunyai niat menghina negara ini dan sensitivitinya” dengan perbuatan mereka.
Bagaimanapun, hakim berkata apa yang mereka lakukan sama sekali tidak sesuai dan memprovokasi sensitiviti rakyat Malaysia.
“Unsur-unsur pada bendera adalah simbol kedaulatan dan agama rasmi negara. Kamu perlu mengambil kira Malaysia mempunyai budaya yang berbeza dengan anda,” kata hakim.
Sembilan individu terbabit – Jack Walker, Timothy Yates, Tom Whitworth, Tom Laslett, Nick Kelly, Edward Leaney, Branden Stobbs, James Paver dan Adam Pasfield – mengaku bersalah melakukan gangguan awam dengan perbuatan melucutkan pakaian sehingga hanya memakai seluar dalam dengan cetakan Jalur Gemilang.
Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM400.
Sekumpulan lelaki itu dikenali sebagai ‘Budgie 9’ kerana mengenakan pakaian sukan renang yang dikenali di Australia dengan nama ‘budgie smugglers’.
Lelaki, berusia antara 25 dan 29 itu meraikan kemenangan sulung pemandu Australia, Daniel Ricciardo bagi musim ini.
Peguam mereka, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata kesalahan itu adalah ‘remeh’ dan mereka menunjukkan ‘penyesalan’ atas tindakan itu.
Shafee berkata mereka sebenarnya memakai ‘seluar renang’ dan gambar bendera kebangsaan yang terpampang pada pakaian adalah ‘digalakkan’ di kebanyakan negara lain dan dilihat sebagai ‘patriotisme’.
“Pada Hari Kebangsaan Australia, ia adalah perkara biasa melihat individu berbikini atau memakai seluar renang dengan bendera Australia berjalan di jalanan,” katanya.
Tambahnya, terdapat juga diskriminasi kepada kaum lelaki.
“Kerana dalam paddock dalam F1, terdapat wanita memakai pakaian lebih menjolok mata berbanding 9 anak guam saya,” katanya.