
Setiausaha Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar PAS Pusat, Huzir Sulaiman, berkata tuduhan Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) yang baru-baru ini menggesa pihak berkuasa Kelantan berhenti terus menafikan kegiatan yang merosakkan kawasan hutan itu, seolah-olah pembalakan hanya berlaku di negeri itu.
“Seharusnya kritikan C4 juga tertumpu kepada negeri-negeri lain yang terlibat dengan aktiviti pembalakan lebih-lebih lagi di Sarawak, sebuah negeri pengeluar balak yang terbesar di negara ini iaitu hampir 10 kali ganda pengeluarannya… jika dibandingkan dengan Kelantan,” kata Huzir.
Huzir berkata isu melibatkan Orang Asli juga berlaku di negeri lain seperti Pahang, manakala isu alam sekitar turut berlaku di Pulau Pinang, Johor dan Selangor.
Pengarah C4, Cynthia Gabriel baru-baru ini berkata Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob perlu “menghentikan sindrom penafian” dan menunjukkan kepimpinan dengan memperkenalkan dasar ketat menguruskan hutan.
Ia susulan insiden pergelutan antara pihak berkuasa dengan 160 penduduk Orang Asli dan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), ketika mereka cuba mempertahankan penghalang jalan di penempatan Orang Asli Pos Simpor, dekat Gua Musang.
Industri pembalakan di Kelantan kerap dipersoalkan. Perhutanan Kelantan mendedahkan sejumlah 7,248 hektar daripada lebih 600,000 hektar Hutan Simpan Kekal diteroka secara haram sejak 1980-an.
Huzir berkata tanggungjawab penguatkuasaan dalam pembalakan bukan sahaja terletak di bawah negeri tetapi juga di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).
“PAS sentiasa terbuka kepada C4 untuk duduk bersama dan berbincang untuk mencari solusi dalam isu yang berkaitrapat dengan pembalakan, projek ladang hutan serta isu alam sekitar yang lain demi kepentingan rakyat di negeri itu,” katanya.
Semalam, Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah memberitahu FMT, aktiviti pembalakan di Kelantan boleh dihentikan jika kerajaan pusat membayar royalti minyak mengikut perjanjian asal.
“Balak hasil utama negeri. Kita boleh berhenti kalau kerajaan pusat bayar royalti minyak sebagaimana perjanjian,” kata Amar.
Pautan:
Cukup dengan penafian, Kelantan digesa bertindak pembalakan haram
Pembalakan boleh henti, jika bayar royalti minyak, kata timbalan MB