Sungai Siput memang kerusi kami, kata DAP Perak

Sungai Siput memang kerusi kami, kata DAP Perak

Namun DAP tiada masa untuk bertelingkah dengan PSM memandangkan parti belum mencapai keputusan muktamad untuk bertanding di situ, kata Sivanesan.

sungai-siput
PETALING JAYA:
DAP hari ini mempersoalkan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mahu parti itu dibiar kekal di kawasan Parlimen Sungai Siput.

Malah Naib Pengerusi DAP Perak A Sivanesan mengingatkan PSM kerusi itu hanya dipinjam kepada PSM ketika bertanding di bawah tiket DAP pada pilihan raya umum 1999.

“Pada 2008 pula, kerusi itu dipinjamkan kepada PKR tetapi memberi laluan kepada calon PSM bertanding menggunakan logo mereka. Kerusi itu sama ada di bawah DAP atau PKR, tidak pernah menjadi milik PSM,” tegasnya kepada FMT.

Kata Adun Sungkai itu lagi, kekuatan DAP di Jalong – kawasan Dewan Undangan Negeri di dalam Parlimen Sungai Siput yang dimenangi DAP dengan majoriti 6,769 undi pada PRU lalu merupakan antara punca kemenangan pembangkang di sana.

“Namun kami tiada masa untuk bertelingkah dengan PSM memandangkan belum ada keputusan untuk bertanding di situ, walaupun kita sudah ada calon yang sesuai,” katanya lagi.

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan semalam mengkritik DAP dan PKR selepas kedua-dua parti itu didakwa mahu meletakkan calon masing-masing di Sungai Siput pada PRU akan datang.

“Ia adalah satu-satunya kerusi Parlimen yang dipegang PSM,” tegas Arutchelvam.

Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar pula berkata beliau tiada masalah untuk memberi laluan kepada DAP atau PKR, tetapi dengan syarat ia ditukarkan dengan kerusi Parlimen lain yang dimenangi kedua-dua parti itu.

Mengulas kenyataan itu pula, Sivanesan mencadangkan agar Jeyakumar menghantar surat rasmi kepada Pakatan Harapan agar rundingan dapat diadakan.

Sementara itu, Pengerusi PKR Perak Dr Muhammad Nur Manuty berkata perbincangan akan diadakan dengan semua pihak yang terlibat sebelum keputusan dibuat berhubung kerusi Parlimen itu.

“Semua parti ingin bertanding, apatah lagi apabila ahli di kawasan tersebut merasakan ada legitimasi dan calon yang difikirkan sesuai. Ini perkara biasa.

“Namun semuanya tertakluk kepada rundingan di dalam parti dan juga dengan parti lain. Oleh kerana PSM sudah di sana selama 2 penggal, tentunya pandangan mereka akan diambil kira. Tetapi pertembungan 1 lawan 1 tetap jadi keutamaan,” katanya lagi.

Pautan:

Jangan buat kacau di Sungai Siput, PSM beritahu PKR, DAP

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.