Ahli, pekerja AAM setuju bangunan dijual RM7.5 juta dengan bersyarat

Ahli, pekerja AAM setuju bangunan dijual RM7.5 juta dengan bersyarat

Mereka bimbang wang hasil penjualan bangunan diguna untuk tujuan lain dan bukannya menyelesaikan masalah kewangan yang berlaku.

aam-bangunan
PETALING JAYA:
Ahli dan kakitangan Persatuan Automobil Malaysia (AAM) boleh menerima cadangan pihak pengurusan tertinggi syarikat menjual bangunan di Shah Alam dengan harga RM7.5 juta tetapi memberikan beberapa syarat.

Ahli tetap AAM, Mohd Noramil Daril berkata pihak pengurusan tertinggi perlu memberi jaminan hasil keuntungan menjual bangunan itu nanti 100% digunakan untuk menyelesaikan hutang berjumlah RM4.5 juta termasuklah pembayaran gaji pekerja dan tuntutan pampasan daripada ahli.

“Kami setuju dengan cadangan penjualan bangunan AAM di Shah Alam tetapi dengan syarat ia perlu memberi penjelasan secara terperinci berhubung duit penjualan itu nanti. Apa yang akan dilakukan dengannya, adakah ia untuk membayar tunggakan gaji pekerja dan hutang? Kita juga nak tahu sama ada duit itu mencukupi untuk membayar hutang dan adakah tindakan itu akan menjamin yang segala kemelut selesai.

“Jika kami bersetuju tanpa sebarang jaminan, kami bimbang wang hasil jualan akan digunakan untuk tujuan lain dan bukannya untuk menyelesaikan masalah kewangan yang berlaku,” katanya kepada FMT.

Tambah Noramil, rata-rata ahli mengancam melakukan usul undi tidak percaya terhadap pihak pengurusan yang meneruskan penjualan bangunan tanpa persetujuan mereka.

“Kebanyakan ahli AAM sudah hilang kepercayaan kepada pengurusan tertinggi AAM. Ia pernah mengalami masalah 15 tahun lalu tetapi tidak sampai kepada krisis kewangan yang teruk sebegini sehingga menjejaskan kualiti perkhidmatan,” katanya.

Nada sama disuarakan wakil pekerja Mimi Nur Fahariah Majid yang mendesak AAM memberi jaminan segala tunggakan gaji serta kedudukan mereka dalam syarikat.

“Kalau itu pilihan terakhir untuk menyelamatkan AAM, kita akur tetapi kalau mereka tak menjelaskan perancangan selepas penjualan itu, kami bantah. Kami juga nak tahu apa jaminan dan nasib kami sebagai pekerja AAM selepas itu,” katanya.

Terdahulu, AAM perlu menjual bangunan miliknya di Laman Seri, Shah Alam supaya dapat melangsaikan hutang RM4.5 juta.

Naib Pengerusi AAM Wan Zaharudin Wan Ahmad berkata AAM, tindakan itu terpaksa diambil kerana tidak mampu membayar gaji kakitangan tepat pada masa serta masalah melangsaikan tunggakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurutnya, faktor utama persatuan mengalami krisis kewangan ialah jumlah keahlian yang semakin menurun ekoran persaingan sengit daripada syarikat insurans yang menawarkan perkhidmatan kenderaan tergendala pada kos lebih rendah.

Pautan:

Persatuan Automobil Malaysia berhutang RM4.5 juta

AAM rosak? Cawangan ditutup, panggilan tidak dijawab

4 bulan AAM didakwa tak bayar gaji, pekerja ditarik kereta, dihalau rumah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.