
Star Online melaporkan 9 lelaki itu membeli seluar dalam itu di Australia.
Menurut laporan itu, kumpulan terbabit, berusia antara 25 dan 29 tahun, direman 4 hari bagi membantu siasatan dan disiasat kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat awam dan provokasi.
Mereka ditahan pada 5 petang Ahad, selepas mereka menanggalkan pakaian dan menayangkan seluar dalam kepada penonton kejuaraan F1 Petronas Grand Prix Malaysia, dipercayai untuk meraikan kemenangan pemandu senegara Daniel Ricciardo.
Sementara itu, New Straits Times memetik Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali sebagai menghentam pemuda terbabit, dan mahu mereka “ditahan, disiasat dan dikenakan tindakan”.
Menyifatkan perbuatan mereka sebagai “bodoh”, Razlan berkata mereka tidak menghormati sensitiviti rakyat Malaysia.
Beliau menambah pihak pengurusan akan bertindak pantas menghalang kejadian daripada berulang pada masa akan datang, namun Razlan akui ia bukan mudah memandangkan kehadiran ribuan penonton di litar.
“Lawak yang tersebar sekarang ini kata tahun depan kami akan periksa seluar dalam penonton,” katanya.
Lebih 83,000 hadirin menonton acara lumba Formula One semalam, serta sesi latihan dan sesi kelayakan pada Jumaat dan Sabtu.
Imej lelaki Australia separuh bogel tersebar dalam lingkungan media sosial, mendorong netizens mengutuk perbuatan itu dan mendesak tindakan dikenakan terhadap mereka.
Mereka juga mahu pihak berkuasa mengenalpasti pembikin seluar dalam itu supaya tindakan boleh diambil.
PAUTAN
Penonton F1 Sepang pakai seluar dalam bendera kebangsaan ditangkap