
Menurut laporan Borneo Post, Adun Moyog Terrence Siambun daripada PKR dan Likas Junz Wong daripada DAP juga mengikut jejak Adun Klias itu, sebagai menyahut seruan rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan untuk menjuarai isu mereka.
“Saya tak keseorangan. Saya akan disertai beberapa pemimpin dan belia berbakat dan juga ahli pembangkang lain,” kata Lajim menurut laporan itu.
Sementara itu Junz akui keputusan yang diambil bukan mudah, yang dipertimbangkannya sejak beberapa bulan lalu.
“Sudah tiba masanya untuk kita tuntut hak kita melalui parti tempatan, melalui usaha ‘anak Sabah’.
” Kita orang ‘Sabah’ perlu bermuafakat dan merebut peluang untuk singkir Umno daripada Sabah. Kita masih mahu bekerjasama dengan parti dari Semenanjung untuk menggulingkan Umno,” kata Junz
Walaupun Lajim tidak umumkan parti yang akan disertainya, menurut Terrence beliau akan sertai Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking dalam parti baharu Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Shafie Apdal.
Pada 6 September lalu Lajim nafi dakwaan keluar parti untuk bersama Shafie.
Beliau bagaimanapun akui ada perbincangan dengan Shafie sebelum ini, tetapi pertemuan mereka cuma membincangkan kerjasama antara PKR Sabah dan Shafie menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Bulan lepas, Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking isytihar keluar PKR untuk menyertai parti baharu Shafie. Beliau merupakan Naib Presiden dalam parti itu.
Dalam suratnya kepada Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Darell menegaskan tindakan keluar parti bukan kerana masalah dengan PKR atau dengan Azizah.