
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membuat dakwaan itu di satu majlis ceramah anjuran PAS di Kemaman, Terengganu malam tadi.
FMT masih dalam usaha mengesahkan dakwaan itu dengan Gani.
“Saya juga diberitahu oleh peguam negara (Gani) mengenai wang sejumlah RM42 juta yang masuk dalam akaun perdana menteri. Jumlah itu hasil daripada suntik yang masuk ke dalam akaun perdana menteri menerusi 2 buah syarikat, dan ia masuk ke dalam akaun berasingan perdana menteri dan disahkan oleh peguam negara.
“Diberitahu pada saya, peguam negara berjumpa dengan perdana menteri dan beritahu dalam siasatan oleh pihak SPRM, wang sejumlah itu ada dalam akaun (Najib),” kata Muhyiddin.
Seterusnya Muhyddin berkata Najib nafi wang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
“Apabila diberitahu kepada perdana menteri, dia kata: Dak (tidak), tak ada. Tapi disahkan oleh peguam negara, Tan Sri Gani Patail ada.
“The money is in your account sir (Wang itu ada dalam akaun tuan), tapi dia (Najib) masih berkata: Tak ada. Terbukti wang itu ada di situ kerana beliau (perdana menteri) membelanjakan wang itu,” kata Muhyiddin.
Presiden PPBM itu tidak menyatakan secara jelas bila dan di mana pertemuan antara Gani dan Najib itu berlaku.
Sebelum ini, Gani dilaporkan tidak mencabar penamatan khidmatnya kerana terikat dengan Perintah Am. Menurut beliau, jawatan peguam negara dianggap sebagai penjawat awam.
Gani berkhidmat sebagai Peguam Negara selama 13 tahun sejak 2003 dan perkhidmatannya ditamatkan secara mendadak pada 27 Julai tahun lalu.
Pada masa itu beliau terbabit dalam pasukan bertindak khas pelbagai agensi yang menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sumbangan RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pautan: