Wanita MCA: Siasat kaitan Jamal dengan IS

Wanita MCA: Siasat kaitan Jamal dengan IS

Wanita MCA membidas Jamal atas dakwaannya Bersih 2.0 diresapi IS dan mempersoalkan dari mana beliau mendapat maklumat itu.

jamal
PETALING JAYA: Wanita MCA hari ini menggesa polis menyiasat kaitan Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Md Yunos dengan IS atau organisasi pengganas lain.

Gesaan itu dibuat ketuanya, Datuk Heng Seai Kie susulan dakwaan Jamal yang Bersih 2.0 diresapi pengganas IS.

“Jika perlu, Kementerian Dalam Negeri harus menggunakan undang-undang pencegahan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) terhadap Jamal Yunos, jika penemuan Bukit Aman mendedahkan sebarang kaitan dengan pengganas.

“Oleh itu, tuduhan liar Jamal Yunos memang membimbangkan kerana ia boleh mencetuskan serangan terhadap Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan mana-mana peserta Bersih 5 serta huru-hara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Heng turut mempersoalkan dari mana Jamal mendapat maklumat kononnya Bersih diresapi pengganas IS dan menggesa polis ‘segera menyiasat pemimpin Gerakan Baju Merah itu mengenai cara beliau mendapat maklumat terbabit’ dan mengesahkan jika data itu sahih.

“Selain unit Counter Terrorism Bukit Aman dan agensi risikan antarabangsa, ‘satu-satunya sumber lain yang boleh dipercayai’ yang akan mempunyai pengetahuan mengenai operasi atau rancangan IS ialah anggota IS sendiri,” katanya.

Beliau berkata, agensi risikan antarabangsa tidak akan mendedahkan maklumat rahsia mengenai kegiatan dan rancangan pengganas kepada orang ramai.

Rabu lalu, Jamal mendakwa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) diresapi pengganas IS dan Gerakan Baju Merah akan turun ke 6 lokasi utama konvoi jelajah negeri Bersih mulai hari ini, menuju acara kemuncak di ibu negara, iaitu himpunan Bersih 5 pada 19 November nanti.

Pautan:

Jamal Yunos tuduh Bersih diresapi IS

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.